Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Tuesday, December 21, 2010

PAS Selangor.. Jemaah Yang Hilang?

Kemenangan 'terkejut' Barisan Alternatif(BA) pada PRU ke 12 sememangnya sesuatu yang mengejutkan bukan sahaja kepada UMNO-BN Selangor malahan kepada PAS Selangor selaku ahli didalam BA ketika itu. (Kini dikenali dengan Pakatan Rakyat).

Pasca PRU tersebut, didalam usrah dan kuliah haraki, seringkali ditimbulkan betapa kemenangan itu lebih merupakan suatu ujian yang sangat berat kerana jika selama ini menjadi pembangkang, kini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah negeri Selangor, negeri terkaya di Malaysia! Pastinya ujian yang lebih berat lagi kepada UMNO-BN Selangor yang sehingga kini masih berantakan akibat kekalahan mereka. Sehingga kini UMNO Selangor masih mencari-cari arah dan masih belum menampakkan jalan untuk 'bersatu' apatahlagi parti-parti komponen lain seperti MCA dan MIC. Kemenangan calon MIC di PRK Hulu Selangor juga boleh dikatakan bukan atas nama MIC itu sendiri tetapi lebih kepada sentimen UMNO.

PAS mengisi kemenangan PRU 12 itu dengan berjaya menguasai sebahagian besar jawatan-jawatan berkaitan agama Islam terutamanya dalam pengurusan masjid dan surau diseluruh Selangor. Sesuai dengan fikrah PAS yang antaranya menjadikan dakwah sebagai keutamaan, ahli-ahli PAS Selangor setakat ini kelihatan jauh lebih berjaya mengimarahkan Institusi Masjid dan Surau dengan pelbagai aktiviti Islam yang dahulunya sangat sepi dibawah pemerintahan UMNO-BN. Ahli-ahli PAS yang berkelayakan dan berbakat juga diberikan peluang memegang jawatan-jawatan yang selama ini belum pernah dirasai seperti menjadi Ahli Majlis Daerah Tempatan malahan ada ADUN PAS yang menjadi Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor. Kepada Allah SWT kita panjatkan kesyukuran atas kurniaanNya.

Bagaimanapun, seiring dengan kesibukan ahli-ahli PAS melaksanakan tanggungjawab sebagai Kerajaan Negeri, tidak sepatutnya kerja-kerja dan perlaksanaan aktiviti parti diabaikan. Kedengaran juga masalah ke'lesu'an gerak kerja parti akibat 'kehilangan' aktivis yang sebelum ini aktif tetapi kini dibebani dengan tugasan lain. Contohnya seorang aktiviti parti yang aktif sebelum PRU 12, kini semakin jarang kelihatan di aktiviti parti kerana terlalu sibuk dengan urusan masjid setelah dilantik menjadi AJK Masjid. Jika seorang tidak menjadi hal tetapi bagaimana jika hampir keseluruhan mereka tidak dapat memberikan komitmen kepada aktiviti parti, apakah ramalan kesudahannya?

Sepatutnya, kesibukan melaksanakan tanggungjawab kepada jawatan-jawatan baru tidak menghalang aktivis PAS menyertai gerak kerja parti. Ini adalah kerana wajib difahami, gerak kerja parti adalah 'fundamental' kepada segala-galanya! Pengisian kepada kemenangan itu satu hal dan perlaksanaan gerak kerja parti itu adalah suatu sudut yang lain!.

Kemenangan yang diisi dengan kelemahan kepada gerak kerja parti adalah merupakan suatu 'bencana' dalam diam. Sepatutnya, kekalahan Kerajaan PAS Terengganu mengekalkan kemenangan pada PRU 2004 menjadi suatu pengajaran yang sangat baik kepada ahli-ahli PAS di negeri Selangor. Bagaimana pasca kemenangan PAS Terengganu pada PRU 1999 telah menyebabkan gerak kerja parti menjadi semakin perlahan dan akhirnya kemuncak kepada kelemahan itu adalah PAS kehilangan kerajaan negeri!

Kesimpulannya, ahli-ahli PAS Selangor wajar kembali menguatkan jentera parti disamping melaksanakan tugasan sebagai Kerajaan Negeri. Apalah maknanya jika kita berbangga dengan kemenangan tetapi akhirnya nanti kemenangan itulah menjadi punca kepada kelemahan aktiviti jemaah PAS. Asas kepada gerakan Islam seperti Usrah, Kuliah Haraki, Tamrin dan sebagainya wajib dilaksanakan semula dengan lebih serius dan kali ini bercirikan sebuah pemerintahan bukan lagi sebagai pembangkang! Saf-saf kepimpinan setiap kawasan wajib diperkuatkan dengan menumpukan kepada aktiviti Tarbiyah dan pengukuhan jemaah.

Terdapat juga segolongan ahli yang hanya menjadikan pembubaran Dun dan Parlimen sebagai semboyan untuk mula bekerja! Ini adalah suatu kesalahan yang sangat besar! Gerak kerja pilihanraya sepatutnya bermula sebaik sahaja PRU 2008 dulu berakhir! Mana mungkin kemenangan yang hakiki boleh dijana sekiranya kita hanya memulakan tugas 2 minggu sebelum hari pilihanraya?

Ahli-ahli PAS wajib berfikir sejenak, adakah kemenangan didalam PRU 2008 dahulu adalah kemenangan yang sebenar atau lebih merupakan ujian kepada para jemaah? Adakah dengan kemenangan itu ahli-ahli PAS akan meningkatkan lagi gerak kerja parti atau akan menjadikan alasan pengisian kemenangan untuk tidak menyertai aktiviti PAS? Dan sekiranya kita tidak memenangi pilihanraya, bolehkah kita memegang tanggungjawab sebagai kerajaan negeri lagi?

Jangan jadikan kesibukan sebagai kerajaan negeri alasan untuk meringan-ringankan segala gerak kerja parti. Kelak, rakyat akan dapat merasakan akan berkurangnya aktiviti PAS tidak seperti sebelum kemenangan 2008. Harus diingat, rakyat terdekat lebih mengetahui kita sebagai ahli PAS melebihi kita sebagai kerajaan. Gerak kerja parti itulah sebenarnya lambang kesungguhan disamping menggunakan kelebihan sebagai kerajaan negeri bagi mempermudahkan kita membuktikan segala apa yang dijanjikan! Ayuh! Mari segarkan kembali aktiviti asas Parti Islam SeMalaysia!

Harus diingat, mempertahankan sebuah kemenangan adalah jauh lebih sukar daripada memburu kemenangan!

Wallahua'lam

budakbalun 21122010

2 comments:

Anonymous said...

salam budak balun. cam merajuk je bunyi

budakbalun said...

w.salam.. sekadar luahan..
tiada istilah merajuk dalam perjuangan Islam..

Idak dah lama Khalid Al-Walid merajuk bila Sayidina Umar Al-Khattab pecat dia daripada jawatan jeneral!

Allahuakbar!