Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Sunday, December 20, 2009

Ayuh! Jadikan diri anda sebahagian daripada Sejarah!


Didalam keadaan dan situasi Parti-parti dibawah nama Pakatan Rakyat sedang sibuk memperkuatkan perpaduan dan ukhwah, jelas kelihatan parti-parti yang bernaung di bawah nama Barisan Nasional semakin berkecamuk dan bergeseran.

Konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini diikuti dengan Konvensyen Blogger PAS antara bukti betapa titik persamaan diantara 3 parti PKR, DAP dan PAS semakin jelas dan disokong oleh usaha memantapkan lagi fikrah para 'bloggers' pro-PR bagi menghadapi jentera penerangan UMNO-BN yang diketuai oleh Kementerian Penerangan.

Dengan tidak semena-mena UMNO Pulau Pinang yang diketuai oleh Zahid Hamidi mahukan jawatan Pengerusi BN negeri yang bermaksud secara halusnya jawatan Ketua Menteri sekiranya UMNO-BN berjaya menguasai kembali Pulau Pinang dimasa akan datang! Nah! Bukankah ini titik-titik kehancuran sebenarnya? Konsep perkauman yang menjadi asas didalam Barisan Nasional kini semakin menuju ke kemuncaknya!

Disaat konsep perkauman ini ditolak secara total oleh parti-parti Pakatan Rakyat, konsep inilah yang sedang menjadi barah didalam Barisan Nasional. Jelas sebenarnya Ketuanan Melayu itu disokong oleh kaum lain cuma selama ini UMNO telah mempergunakan konsep tersebut untuk mengaut keuntungan secara dua hala iaitu menggunakan konsep ketuanan melayu bagi mendapat sokongan orang melayu dan dalam masa yang sama menggadai segala apa yang dimiliki oleh melayu bagi mendapat keuntungan dan kemewahan pemimpin-pemimpin dan kroni mereka.

Kes tapak Masjid di Desa Sri Hartamas adalah contoh bagaimana UMNO menggadai kepentingan dan hak orang melayu Islam apabila tanah tapak masjid boleh ditukar status dan bakal menjadi tapak perniagaan! Nah! apa lagi yang mahu dibuktikan?

Sehinggat saat ini, status parti MCA sendiri masih lagi samar dan kelam dek kerana perebutan kuasa yang melampau melebihi kepentingan ahli-ahli MCA itu sendiri! Diharapkan agar ahli-ahli MCA bawahan dapat segera meleraikan segala kekusutan dengan cara keluar dari parti tersebut!

Bagi MIC, ketamakan dan kesungguhan Samy Vellu mahu mempertahankan jawatannya walaupun jelas ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia berbangsa India menjadi bukti kukuh bahawa dia bukanlah mahu memperjuangkan bangsa India tetapi memperjuangkan kepentingan keluarga dan kroninya. Manakan mungkin setelah melalui kekalahan yang sangat besar didalam Pilihanraya Umum Ke-12, dia masih lagi mahu memegang jawatan No.1 parti bangsa India terbesar di Malaysia itu? Walhal sebegitu ramai penggantinya yang layak?

Satu demi satu pembuktian betapa konsep perkauman yang digunapakai oleh Barisan Nasional semakin meruntuhkan parti berkenaan. Jawapan dan penyelesaian kepada semua ini adalah rakyat Malaysia perlu berubah dalam memperkukuhkan perpaduan kepada perjuangan keadilan dan menolak semua kezaliman!

Pakatan Rakyat menawarkan satu konsep yang amat telus dan meyakinkan kepada semua bangsa di Malaysia dalam usaha menyatu padukan pelbagai lapisan masyarakat. Dari segi bangsa, setiap parti didalam Pakatan Rakyat adalah boleh disertai oleh pelbagai bangsa! PKR dan DAP dianggotai oleh pelbagai bangsa dan PAS juga boleh disertai oleh bangsa selain Melayu cuma mestilah beragama Islam.

Ingin saya memetik kata-kata Tuan Guru Nik Aziz didalam satu ceramah, "Sekiranya orang Melayu memperjuangkan bangsa Melayu, maka pastilah ianya akan menzalimi orang Cina dan India kerana mustahil orang Cina dan India boleh menjadi Melayu? tetapi sekiranya Melayu memperjuangkan Islam! Keadilan akan dapat dirasai oleh semua bangsa kerana Islam itu sendiri adalah agama Keadilan dan orang Cina dan India boleh menjadi Islam(kembali kepada agama Islam).

Didalam konteks politik, parti PAS itu sendiri dianggotai oleh pelbagai bangsa. Bukan sahaja Melayu, Cina dan India malahan orang Asli juga ada yang menjadi ahli PAS! Di Sabah dan Sarawak, bangsa Iban, Murut dan pelbagai lagi bangsa ada yang diterima menjadi ahli PAS kerana mereka beragama Islam. Nah! bukankah ini salah satu keunikan yang terdapat didalam PAS dan Pakatan Rakyat?

Mustahil seorang Cina diterima menjadi ahli UMNO,
Mustahil seorang India diterima menjadi ahli UMNO,
Mustahil seorang Sikh diterima menjadi ahli UMNO!

Tetapi kesemua mereka pasti diterima menjadi ahli PAS sekiranya mereka beragama Islam.
Pilihan untuk menyertai mana-mana parti didalam Pakatan Rakyat terbuka luas.
Pilihlah PAS, PKR mahupun DAP agar kita tidak ketinggalan dalam meletakkan diri kita sebahagaian daripada sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia yang akan dikenang iaitu bagaimana kekuatan dan kesepaduan rakyat Malaysia yang sejati berjaya menumbangkang kezaliman dan penipuan UMNO-Barisan Nasional!

Ayuh! Apa tunggu lagi?

sunsnake 20.12.2009