Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Sunday, January 31, 2010

Tragedi Di Ambang Perkahwinan


Pakatan Rakyat telah berkonvensyen, di sana janji telah dipadu yang konvensyen tersebut sekaligus menjadi majlis merisik dan bertunang, satu majlis perkahwinan juga telah dipersetujui bersama akan dilaksanakan, dan Zaid Ibrahim dipertanggungjawabkan untuk menjadi ketua penanggahnya (atau mentara ikut bahasa utaranya).

Dalam kemeriahan, keghairahan dan semangat meraikan kelahiran satu ikatan, satu perkara penting nampaknya telah terlupa untuk dimasukkan sebagai agenda perbincangan, iaitu taklik perkahwinan, perkara yang PAS, PKR dan DAP tidak boleh melakukannya, jika dibuat juga maka secara automatiknya gugurlah talak, kata lainnya bercerailah Pakatan Rakyat ini.

Walaupun perkahwinan belum dimeterai secara sah, andai ada taklik perkahwinan ini, sekurang-kurangnya ia mampu menjadi panduan untuk semua parti dalam komponen Pakatan Rakyat bertindak, apalagi dalam tempoh pertunangan yang bagai dikata orang-orang tua, sangat manis darahnya dan begitu banyak dugaannya ini.

Harus diingat juga, antara isi perjanjian Pakatan Rakyat selepas berkahwin nanti adalah mahu berumahtangga di istana impian bernama Putrajaya, bukan setakat mahu berbulan madu, tetapi mahu kekal di sana selama jodoh dikekalkan Tuhan! Hari ini situasinya, di Putrajaya sana ada keluarga lain sedang bermastautin, yang bernama Barisan Nasional. Sudah tentu Barisan Nasional yang sedang begitu selesa dan gembira di situ tidak dengan begitu mudah mahu berpindah dan mengizinkan Pakatan Rakyat memasukinya. Pelbagai akan dilakukan, santau angin, santau darah, hantu raya, pelesit, polong, semua akan dihantar… termasuk mungkin Azazil yang menyamar sebagai Jibrail.

Perkahwinan Pakatan Rakyat (saya tetap berdoa dalam seribu rintangan dan kepayahan, ia akhirnya tetap akan jadi kenyataan) bukanlah perkahwinan anak dara. PAS pernah berkahwin dengan Barisan Nasional dan Angkatan Perpaduan Ummah, DAP pernah berkahwin dengan Gagasan Rakyat, PKR pula kita semua maklum dari mana kebanyakan pemimpin mereka lahir, ya pemimpin seperti Zahrain Mohd Hashim itu… Sama ada janda atau balu, mereka ini datang dengan ramai anak, anak-anak yang harus didisiplinkan.

Taklik perkahwinan boleh melakukan ini, sebelum keadaan menjadi semakin parah ia harus diwujudkan segera. Tanpa ada sekatan dan batasan, sesiapa sahaja mudah merasa mereka adalah bos, mereka adalah ketua, apalagi jika adanya gelaran YB atau Majlis Pimpinan Pusat atau AJK Pusat atau Central Committee bersama nama mereka. Mereka seolah-olah punya lesen untuk layak dan berhak bagi melakukan apa sahaja, bercakap apa sahaja, tanpa ada perasaan bersalah dengan kesan yang timbul terhadap rumahtangga Pakatan Rakyat yang bakal dibina secara keseluruhannya.

Kerana senario sebeginilah mutakhir ini kita dihadapkan dengan perangai dan gelagat “anak-anak” Pakatan Rakyat yang tidak bersaudara kandung ini. Insiden-insiden ini bagi saya adalah tragedi di ambang perkahwinan Pakatan Rakyat, Hassan Ali dengan kepimpinan Khalid Ibrahim di Selangor, Hassan Ali dengan Khalid Samad, Khalid Samad dengan Zulkifli Noordin, Zulkifli Noordin dengan ijma’ PKR Pusat, Zahrain Mohd Hashim dengan kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan Azan Ismail dengan kepimpinan PKR Pahang di bawah teraju Fauzi Abd Rahman.

Mungkin benar bahawa wujudnya pertelingkahan-pertelingkahan ini adalah kerana masalah-masalah dalaman yang tidak terselesai sehingga sesetengahnya sudah merasa bosan untuk berada di meja rundingan. Mungkin juga benar wujudnya hantu-hantu yang merasuk atau santau-santau yang mengena. Tetapi yang lebih penting, kesemua peristiwa ini memberitahu masyarakat luar tentang lemahnya disiplin sesetengah kalangan pimpinan Pakatan Rakyat dalam berorganisasi, mereka jahil dengan hierarki kepimpinan, adakalanya tidak ada hormat sesama rakan seperjuangan, dan sikap jahil hierarki dan tiada hormat ini pula seringkali di hala ke khalayak awam sehingga mencetus krisis. Sebab itu bila pandangan profesional saya sebagai seorang perunding latihan diminta, saya sering menekankan yang Pakatan Rakyat memerlukan latihan intensif dalam pengurusan krisis dan pengurusan media.

Saya percaya Zaid Ibrahim yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus perkahwinan yang paling besar saya kira dalam sejarah politik moden Malaysia sedang sakit kepala sekarang. Di sebalik mimpi kegemilangan, insiden-insiden yang sedang berlaku berupaya mencetus tragedi. Rupanya tidak mudah untuk mensaudarakan “anak-anak” dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat ini. Mereka selama ini bermain di halaman berbeza walaupun biasa bertemu makan ais krim bersama. “Kebersamaan” mereka selama ini hanya pada perkara yang manis-manis sahaja… seperti bersama-sama disembur FRU. Hari ini mereka bukan sekadar diminta bermain bersama, tetapi juga tinggal serumah, menjadi adik-beradik.

Semua yang mengaku pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat (bukan sekadar pemimpin dan pendukung PAS, PKR, DAP, mahupun SNAP) semestinya berharap rumahtangga ini akan terbina dengan jayanya. Pertunangan yang penuh liku ini tidak seharusnya tersungkur di pelamin perkahwinan. Taklik perlu dilakar segera bagi dihadzam dan diperturunkan kepada “anak-anak” dan seluruh keturunan.

Saya secara peribadi cuma berharap yang baik-baik sahaja, selagi Muhajirin dan Ansar boleh disaudarakan selagi itulah saya melihat perkahwinan Pakatan Rakyat sebagai sesuatu yang munasabah dan perlu disokong. Sekarang ini saya sedang berkira-kira memilih kad yang sesuai bagi dihantar untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Pakatan Rakyat. Moga ia menjadi kenyataan, amin.

P/s: PR adalah Gabungan baru, jika ada selisih faham diantara parti-parti komponen didalamnya boleh dikatakan pekara biasa. Parti komponen dalam BN yang sudah lama pun ada selisih faham malah kekadang tue lebih teruk tak diheboh pun! pikiaq sendiri la.

sumber- D'"perbatasan