Tuesday, March 29, 2011
Rahsia Buku Jingga Siri 2 (Negara Dalam Krisis)
NEGARA DALAM KRISIS Krisis Ekonomi
Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98.
Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.
* 12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit. * 10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi. * 4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%. * 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%. * KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
* 325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 billion ringgit. * 53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998. * 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi Negara
Institusi-institusi negara rosak akibat dari campur tangan penguasa.
Kewibawaan badan kehakiman terhakis.
Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.
Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.
Jika integriti institusi-institusi utama negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda.
Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.
* Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa.
Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008 menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan Rakyat
Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.
* 2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).
* 4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
* 40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.
* 3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
* 34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
* 62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
* RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.
*RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
* RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat Dinodai
Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa.
Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet.
Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya.
Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.
Gejala Rasuah Berleluasa
Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam.
Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah).
Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya.
Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.
Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.
* RM28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
* 3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
* 4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009.
* 46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.
Krisis Pendidikan
Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah.
Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.
Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama.
Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.
* 57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
*68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
* 1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
* 29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
Bersambung...
Rahsia Buku Jingga Siri 1 (Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia)
Agenda Pakatan:
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
1 UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA !
Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis.
Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN.
Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah.
Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa.
UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi.
Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah.
Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi.
Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma.
Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan 4 kerangka asas iaitu:
1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya.
Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Kami untuk:
1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini.
Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek.
Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak.
Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita.
Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita.
Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat.
Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda.
Amalan menunggang institusi-institusi negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa.
Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang.
Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur.
Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera.
Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.
Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat.
Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi negara.
Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama.
Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. Lim Kit Siang - Ketua Ahli Parlimen
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Bersambung...
Rahsia Buku Jingga [Document Inside] Wajib Baca!
Kepada semua rakyat Malaysia..
Teman 'post' kan isi Kandungan buku jingga,
Untuk sebaran dan pemahaman seluruh rakyat Malaysia...
Mari kita baca dan fahami..
Renung-renungkan..
Ke Arah Malaysia yang lebih adil dan berkebajikan...
InsyaAllah...
Siri Buku Jingga ini akan teman siarkan beberapa siri...
Selamat Membaca dan Memberi Komen!
KANDUNGAN
1 Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
2 Negara Dalam Krisis
-Krisis Ekonomi
-Kerosakan Institusi Negara
-Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
-Bebanan Rakyat
-Hak Rakyat Dinodai
-Gejala Rasuah Berleluasa
-Krisis Pendidikan
3 Kemakmuran, Keadilan Sosial dan Persaudaraan Rakyat bersama Pakatan Rakyat
-Membebaskan Institusi Negara
-Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil
-Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat
-Pemberdayaan Rakyat
-Golongan Pendidik Diutamakan
-Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti
-Memerangi Rasuah
-Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi
4 Program 100 Hari Pakatan Rakyat
5 Dasar Bersama Pakatan Rakyat
-Demokrasi Telus dan Tulen
-Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
-Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
-Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
Bersambung....
PAS Balaci DAP, UMNO Balaci MCA?
Hmmm..
Mohon komen daripada kesemua pencacai yang kerap menjenguk ke blog budakbalun ni..
Apa kata kome?
PAS Kelantan tetap dengan tindakan mereka mengharamkan penjualan loteri di Kelantan melalui kuasa mengawal premis yang ada pada kerajaan negeri!
Walaupun ada desakan yang agak kuat daripada DAP,MCA dan Gerakan.
Dalam masa yang sama, dengan angkuhnya, cina MCA Terengganu mengumumkan tiada pengharaman loteri di Terengganu yang diperintah oleh UMNO!
Adehhh!!
Buta perut takde akai ka??
sunsnake 29032011
PAS kekal haramkan jualan tiket loteri
Pengharaman penjualan tiket judi loteri seperti 'big sweep' di Kelantan akan diteruskan selepas tindakan itu didakwa tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penasihat undang-undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan itu.
Katanya, keputusan dibuat selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan sebaik diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.
Berita Penuh
Exco: Tiada pengharaman loteri di Terengganu
Terengganu tidak mempunyai premis perjudian bukan kerana larangan oleh pihak berkuasa tetapi tidak ada permohonan mengendalikan perniagaan itu, kata anggota exco Terengganu Toh Chin Yaw.
"Sejak BN mengambil kuasa negeri itu pada 2004, hanya ada segelintir orang yang berkata mereka mahu mengendalikan premis berkenaan, tetapi ia hanya cakap-cakap. Tidak ada orang yang memohon secara rasmi,” kata Toh, menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, semalam.
Judi dan juga undang-undang tegas berhubung penjualan alkohol dikuatkuasakan oleh majlis tempatan selepas PAS menguasai kerajaan negeri pada 1999. Semua premis perjudian diarahkan ditutup.
Berita Penuh
Subscribe to:
Posts (Atom)