Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Tuesday, June 29, 2010

UMNO Perak Menolak Judi Kerana Hukum Syara’ Atau Kerana Suara Akar Umbi?

UMNO Perak tegas tak setuju lesen judi sukan

KUALA LUMPUR: UMNO Perak tidak bersetuju dengan pengeluaran lesen judi sukan kepada syarikat tertentu seperti yang dicadangkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan disaran supaya mengkaji dengan teliti mengenai cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan. “UMNO Perak membuat keputusan dan meminta kerajaan supaya tidak meluluskan lesen judi sukan. Ini pandangan dan suara akar umbi UMNO negeri itu.

“Kerajaan bukan saja perlu mengkaji kesannya dari segi ekonomi, malah perlu lebih komprehensif lagi melihat kesannya dari aspek tuntutan agama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Isu judi sukan timbul apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyatakan terdapat cadangan daripada pihak kerajaan untuk meluluskan lesen judi sukan ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat bulan lalu.

Zambry berkata, walaupun kerajaan belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada mahu meluluskan pemberian lesen judi atau tidak, pelbagai tanggapan negatif kini muncul dan ia perlu dihentikan segera.

Beliau berkata, walaupun pandangan UMNO Perak itu dilihat bercanggah dengan dasar kerajaan, ia bukan alasan untuk menyatakan pandangan ataupun pendapat apatah lagi membabitkan suara akar umbi. Katanya, dalam membuat keputusan itu UMNO tidak bersendirian, sebaliknya ia juga sudah dipersetujui serta disokong rakan komponen Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

“Taklimat yang diberikan kepada kita bahawa kerajaan masih belum lagi meluluskan lesen judi ini...kami di Perak memahami dan keputusan yang dibuat tidak hanya satu pihak saja.

“Isu judi bola ini bukannya isu politik dan kami di Perak mendengar pandangan rakyat berhubung isu ini dari peringkat atasan sehingga bawahan,” katanya.

Katanya, isu judi berkenaan dimanipulasi sepenuhnya oleh pembangkang bagi meraih sokongan politik untuk menutup kegagalan mereka memansuhkan judi di negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.

Sumber : Berita Harian, 24/06/2010

UMNO Perak Menolak Judi Kerana Hukum Syara’ Atau Kerana Suara Akar Umbi?

Suatu kesalahan dan kebatilan yang amat nyata apabila menolak judi kerana kehendak manusia. Inilah akibatnya apabila perasaan dan manfaat dijadikan asas untuk melakukan atau menilai sesuatu. Dalam kes judi ini kita melihat bagaimana UMNO Perak yang rata-ratanya dianggotai oleh orang Islam melalui Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak kerajaan persekutuan sekular yang mereka sendiri dokong selama ini agar tidak mengeluarkan lesen judi sukan dengan alasan ini adalah pandangan dan suara akar umbi UMNO negeri itu. Sedangkan dalam pandangan Islam, kita menolak atau menerima sesuatu kerana hukum syara’dan bukannya kerana kehendak manusia. Jika syara’ mengatakan sesuatu adalah haram maka wajib bagi seseorang Muslim itu tunduk dan patuh kepada hukum tersebut walaupun majoriti manusia tidak menerimanya. Untuk itu tidak layak bagi UMNO Perak yang anggotanya adalah orang Islam menunggu lampu hijau dari ahlinya untuk menolak judi sukan tersebut kerana Allah SWT, pencipta manusia, alam dan kehidupan telah secara jelas dan nyata mengharamkan segala bentuk judi yang dikatakan sebagai salah satu dari perbuatan syaitan. Firman Allah SWT:

”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
. [TMQ Al-Maaidah (5) : 90].

Bagi seorang Muslim adalah menjadi kewajiban baginya untuk memastikan dirinya, sama ada pemikiran mahupun perasaannya tunduk kepada hukum syara’. Dari Abdullah ibn Amru ibn Al-Ash ra berkata bahawa telah bersabda Rasulullah SAW,

“ Tidaklah beriman seseorang kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa olehku (Islam)”
[hadith hasan sahih lihat dalam hadith 40 Imam Nawawi].

Firman Allah SWT:

”Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. [TMQ Al-Ahzaab (33) : 36].

0 comments: