Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Tuesday, June 1, 2010

Budaya Jahilliah Yang Masih Diamalkan


Pertembungan antara dua perkara yang bercanggah sudah menjadi satu sunnah dalam kehidupan manusia di alam ini. Pertembungan ini bukanlah sesuatu yang bersifat baru tetapi telah ‘wujud’ sejak dari awal penciptaan manusia itu sendiri. Begitulah juga dengan Islam, dari awal ia datang hinggalah ke hari kiamat nanti pasti ia menerima pertembungan ini yang secara umumnya pertembungan dengan Jahiliyyah.

Islam yang disampaikan kepada manusia dengan kaedah ‘dakwah’ sejak zaman Nabi Nuh A.S tidak pernah putus menerima pertembungan dari Jahiliyyah termasuk kepada Nabi dan Rasul yang terakhir; Muhammad S.A.W. Pertembungan yang dihadapi oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W dalam menyampaikan dakwah Baginda tidak sedikit terakam di dalam sirah nabawiyyah.

Firman Allah S.W.T:

“Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang menghalangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjidNya dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka sepatutnya tidak masuk ke dalamnya, kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat siksa yang berat.” (al-Baqarah:114)

Golongan Jahiliyyah di zaman Rasulullah S.A.W sentiasa bersikap menghalangi dakwah Baginda dalam berbagai cara. Termasuklah seperti yang dinyatakan berdasarkan ayat di atas iaitu dengan cara menyekat aktiviti-aktiviti surau dan masjid dari diimarahkan. Mereka juga bukan sahaja bersikap merobohkannya secara fizikal seperti merobohkan masjid, mengecilkan ruangnya, memisahkannya atau memencilkannya, malah bersikap seolah-olah merobohkannya dengan cara menjadikan aktiviti di dalamnya tidak menarik dan terhad. Tidak kurang pula mereka tanpa ‘perasaan takut’ masuk ke dalamnya atas nama ‘pemantau’ seolah-olah Rumah Allah itu tidak ada ‘Pemantaunya’ Yang Maha Agong. Sedangkan sebelumnya mereka tidak pernah menginjak ke situ. Kerana itulah Allah telah menyumpah golongan ini bahawa mereka akan mendapat kehinaan di dunia dan siksaan yang berat di akhirat.

Sikap seperti ini akan ada di sepanjang zaman. Malah pada hari ini kita melihat kepada halangan yang berlaku bukan sahaja terhadap Masjidil Aqsa di BaitulMaqdis, Palestin, malah kepada masjid-masjid dan surau yang hampir dengan kita.

Dalam masa yang sama kuasa Jahiliyyah ‘berdakwah’ dengan upacara yang mengajak manusia agar semakin jauh dari dakwah Islam dan mengingati Allah. Antaranya ialah melalui hiburan-hiburan yang melalaikan. Penganjuran konsert dan tari menari yang bercanggah dengan Islam secara zahirnya hanyalah untuk suka-suka, hakikat yang tersirat penganjuran seperti ini bersifat menyaingi dan menjadikannya ‘alternatif’ kepada dakwah Islam.

Sirah Rasulullah S.A.W menjadi bukti terhadap perkara ini. Ketika mana Rasulullah S.A.W dan para sahabat tekun menyampaikan dakwah mengajak manusia kepada Allah, golongan Jahiliyyah menyeru pula manusia membelakangi Baginda dengan penganjuran konsert-konsert dan majlis tari menari. Program yang dianjurkan pada masa itu dihiasi dengan bacaan syair atau sajak, diikuti oleh persembahan nyanyian oleh penyanyi-penyanyi wanita selain turut disajikan dengan persembahan tarian. Malah dalam majlis itu juga turut disediakan makanan dan minuman secara percuma.

Penganjuran program-program itu bukanlah secara kebetulan, tetapi ia dirancang dan dijayakan secara tersusun. Di bawah Abu Lahab dan Abu Jahal sebagai ketua misi untuk merosakkan dakwah Rasulullah, program-program kebudayaan seperti itu diuruskan oleh seorang pegawai kebudayaan pada masa itu yang bernama an-Nadhar bin al-Harith.

Firman Allah S.W.T dalam surah Luqman ayat ke 6 yang bermaksud
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu memperolehi azab yang menghinakan.”

Begitulah halnya di zaman manusia serba maju ini. Budaya Jahiliyyah itu masih lagi diwarisi. Semua ini tidak lain tidak bukan tetap dengan matlamat yang sama melalui jarum halus yang tersembunyi adalah untuk menyaingi dakwah Islam. Program-program seperti ini bukan sahaja tidak bermanfaat, malah membazir, merosakkan akhlak dan mengundang kepada gejala negatif.

0 comments: