Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Thursday, January 6, 2011

Ada baiknya Khairy ‘berehat’ dulu


Oleh : Shaharul Shafie

Akhirnya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilaporkan bersedia untuk ‘berehat’ dari politik buat sementara waktu untuk beberapa tujuan dan sebab. Namun begitu, tidak mengejutkan jika Khairy yang lebih mesra dikenali di kalangan media dan orang politik sebagai KJ yang merasakan beliau perlu berehat kerana melihat harapannya untuk maju lebih hadapan di dalam politik Umno nampaknya tidak kesampaian buat masa ini.

Sebagai ahli Parlimen Rembau untuk satu penggal, Khairy telah mengakui melalui pengumumannya di dalam Twitter dan portal-portal berita bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut di dalam pilihanraya umum akan datang dan juga kerusinya sebagai Ketua Pemuda Umno. Menjadi satu kelaziman bagi setiap Ketua Pemuda di dalam Umno sejak dahulu lagi akan meneruskan kesinambungan kuasa sebagai Naib Presiden tetapi perkara ini nampaknya tidak bagi Khairy.

Tidak dinafikan tekanan akibat dari persepsi memainkan peranan penting di dalam keputusan yang dibuat oleh Khairy. Persepsi yang dimaksudkan ini ialah Khairy tetap dilihat sebagai anak muda yang menaiki tangga politik Umno disebabkan hubungannya sebagai menantu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun hakikat ini dinafikan, namun persepsi tersebut terlalu kuat untuk dilawan. Bukannya persepsi itu wujud disebabkan helah pembangkang tetapi tiupannya yang kencang itu bermula dari kalangan ahli Umno sendiri.

Namun begitu, ramai berpendapat bahawa tindakan Khairy adalah bijak untuk masa hadapan politiknya dan juga Umno. Ini adalah kerana jika Khairy tidak berundur maka di dalam pemilihan Umno akan datang, beliau pasti akan dicabar dan kemungkinan untuk kalah memang ada. Oleh itu, berundur sebelum ’masa terlewat’ itu adalah lebih baik untuk masa sekarang.

Jika dibandingkan dengan tugasan menjadi ketua pemuda dan kalibernya serta kelayakan menjadi pemimpin sejak dua tahun lalu, Khairy boleh dikatakan dilihat lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Umno yang lain terutamanya di dalam turun padang bertemu rakyat. Boleh dikatakan Khairy layak dianggap sebagai antara penyumbang utama kepada kekuatan jentera parti semasa beberapa kempen pilihanraya kecil seperti di Manek Urai, Hulu Selangor, Bagan Pinang dan Galas. Kemampuan Khairy di dalam menggembleng Pemuda Umno dan BN seperti menganjurkan BN Youth Club dan program-programnya boleh dilihat antara sumbangan besar Khairy kepada pengukuhan Umno dan BN sendiri pada hari ini. Tidak dinafikan usaha Khairy berjaya menarik sedikit sebanyak golongan belia yang sebelum ini lebih cenderung kepada pembangkang kembali menyokong kerajaan.

Namun begitu, beban persepsi ke atasnya sebagai menantu Pak Lah sukar dipadam terus lebih-lebih lagi di dalam Umno, dendam untuk menjatuhkan Khairy tetap membara sampai hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri seperti bimbang untuk mempertahankan Khairy walaupun beliau tahu akan kemampuan Khairy selama dua tahun ini. Malah, Najib seperti berhati-hati dan terpaksa mengikut telunjuk kumpulan tertentu dalam Umno yang dipengaruhi kuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Ini kita boleh nampak dengan perlantikan lawan kepada Khairy sendiri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri yang kalah bertanding Ketua Pemuda.

Di dalam pemilihan Umno yang lepas, Khairy mencipta sejarah menjadi pemimpin termuda dilantik menjadi Ketua Pemuda Umno tetapi juga menjadi yang pertama yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kabinet walaupun untuk jawatan Timbalan Menteri. Beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda pada umur 33 tahun menewaskan rekod Najib sendiri yang menjadi Ketua Pemuda Umno pada umur 34 tahun.Sememangnya dalam politik, macam-macam alasan boleh diberikan bagi menyenangkan hati orang lain. Najib dilihat sengaja menyenangkan hati Khairy dengan berkata tugasan Khairy lebih berat dalam Pemuda untuk merangkakan perpaduan dan program menawan hati para belia daripada menjadi seorang ahli kabinet. Namun, Khairy dapat menerima amanahnya dengan baik dan menerima ’musuhnya’ itu yang kalah dilantik menjadi Timbalan Menteri dengan tanpa banyak soal.

Masa hadapan Khairy di dalam politik bagi penulis adalah cerah apabila beliau sekarang mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari politik. Terus-terang penulis boleh katakan, perjuangan dan arah wadah Umno hari ini tidak bergerak seiiringan dengan perjuangan yang digarapkan oleh Khairy pada hari ini. Melihat kepada ketiadaan konsisten dalam perkara ini, amat molek baginya berundur juga.

Di kala Umno hari ini menjadi lebih fundamental seperti PAS semasa zaman Allahyarham Yusuf Rawa dan PAS kini menjadi lebih terbuka seperti Umno zaman Tun Mahathir, perjuangan yang dibawa oleh Khairy dalam Umno nampaknya tergantung dan sukar mendapat tempat. Penulis melihat aspirasinya lebih menepati kepada usaha yang lebih liberal dan wasatiah di dalam segala-galanya. Maka perjuangannya sebenarnya nampak lebih rapat dan sesuai dengan kaedah yang diamalkan oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) setakat ini.

Oleh itu, keputusannya untuk berehat ternyata bijak kerana tidak mahu terperangkap di dalam gelombang perubahan dalaman Umno di samping pihak-pihak di dalam Umno sendiri yang menunggu masa bagi menjatuhkannya habis-habisan. Setakat ini, Khairy boleh berterima kasih kepada naibnya, Datuk Razali Ibrahim yang kurang menumpukan kepada agenda politik dalaman pembangunan pemuda sendiri secara terus yang mana mungkin bagi mengelakkan pertembungan dengan Khairy yang sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang anti-Khairy di dalam Umno. Semua sudah tahu bahawa Razali ketika bertanding dahulu sebagai Naib Ketua Pemuda pada tahun 2009 bukannya dari kem yang sama tetapi dari kem Mukhriz. Namun, tindakan Razali kini yang kurang mengambil kisah pergerakan Pemuda berkemungkinan disebabkan arahan dari Perdana Menteri yang kiranya mahukan Khairy yang tidak diberikan apapun jawatan kabinet boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan di dalam Umno.

Di dalam Umno, sebaik mana usaha Khairy tunjukkan kepada Najib masih tidak cukup untuk menghilangkan persepsi menantu Pak Lah ke atasnya. Puncanya ialah Tun Mahathir sendiri. Nama baik Khairy di kalangan ahli Umno sendiri akan lebih baik selepas ini jika Tun Mahathir sudah tiada. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa legasi ’persepsi menantu Pak Lah’ itu mungkin akan disambung oleh anaknya sendiri Mukhriz dengan beberapa pemimpin Umno yang kanan yang nampak rapat dengan Tun Mahathir sendiri seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya hari ini peluang untuk Khairy majukan diri dalam Umno tidak nampak disebabkan tekanan dalaman ke atas pembangunan ’karier’ di dalam Umno. Dengan membawa dirinya melakukan sesuatu yang berfaedah seperti menyambungkan pengajiannya di bidang Doktor Falsafah dan menulis buku-buku berkaitan sosial dan ekonomi terlebih dahulu akan membuatkan rakyat terutamanya ahli-ahli Umno lupa sebentar kisah naiknya anak muda ini semasa zaman Pak Lah dan juga lebih jelas nampak kemampuannya sebagai pemimpin masa hadapan. Apabila sampai masanya nanti selepas PhD, mungkin Khairy akan nampak semula jalan perjuangan politiknya. Tidak mustahil juga Khairy selepas ini mungkin lebih berminat untuk menyertai PR jika agenda-agenda PR hari ini mengenai rakyat adalah konsisten dan diterima pakai. Malah, dua hari lepas, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menjemput beliau untuk menyertai PAS kerana melihat kecenderungan Khairy mengenai politik massa.

Penulis semasa zaman Pak Lah sebenarnya amat marah dan geram kepada Pak Lah dan Khairy dengan isu-isu membabitkan Khairy dan rakan-rakannya yang digelar oleh Tun Mahathir sebagai penghuni Tingkat 4 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu. Mereka ini didakwa oleh Mahathir sebagai mereka yang menguasai segala keputusan dan tindakan Pak Lah di dalam mentadbir negara ketika itu. Mungkin permainan politik Tun Mahathir mencacai Pak Lah dan menantunya akhirnya terus menjadi parut yang kekal di dalam hati rakyat terhadap kemampuan Khairy.

Namun begitu, apabila saya melihat kemampuan dan bentuk perjuangan Khairy sejak pilihanraya umum ke-12, penulis akui Khairy mempunyai bakat, ketrampilan dan kepimpinan rakyat. Bukannya penulis berkata Khairy layak menjadi Perdana Menteri tetapi Khairy layak untuk diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin. Jika bukan sebagai Menteri pun, bermula sebagai Timbalan Menteri pun tidak mengapa. Jika Najib boleh menjadi Timbalan Menteri termuda dalam sejarah pada umur 25 tahun, mengapa pula tidak Khairy yang kini mencecah umur 35 tahun pada 10 Januari nanti untuk memegang jawatan. Di negara-negara Barat, seperti United Kingdom sendiri, Perdana Menterinya kini David Cameron baru sahaja mencecah umur 45 tahun boleh pula diberikan kepercayaan memegang jawatan tertinggi di negara itu. Malah, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama belum lagi mencapai umur 50 tahun sudah menjadi orang yang paling berpengaruh dan kuat di dunia.

Tetapi apa boleh buat, walaupun Khairy layak secara peribadinya tetapi cara kenaikannya dulu yang menjadi persoalan yang akhirnya menjadi duri kepada usahanya untuk mara di dalam politik Malaysia. Mungkin hanya kerana Khairy anak kepada rakyat biasa dan tidak seperti Najib anak kepada Tun Razak, Khairy kena berusaha kuat lagi bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kemampuannya menjadi pemimpin. Dan perlu Khairy ingat bahawa orang Malaysia terutamanya orang Melayu ini lebih sukakan imej yang ’matured’ dan nampak tua walaupun pada umur yang muda sebagai syarat menjadi pemimpin. Tetapi bagi penulis, nampak muda pun bukannya persoalan tetapi itulah hakikatnya di Malaysia ini yang lebih gemar melihat imej luaran walaupun matang di dalamnya. Bak orang putih berkata, ’Don’t judge a book by its cover’.

Saya harap pengumuman Khairy ini tidak mempunyai agenda tersirat. Apa yang saya maksudkan ialah mungkin Khairy mengharapkan perhatian daripada Najib ataupun menunjukkan tanda-tanda ‘merajuk’ kerana tidak mendapat apa yang dicitakan setakat ini. Mudah-mudahan, Khairy gunakan saat ini untuk pembangunan diri, agama dan juga merangka strategi baru sebelum kembali ke dunia politik baru di masa hadapan. Selamat berjaya untuk Khairy.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

0 comments: