Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Friday, June 11, 2010

Mengapa Al-Mathurat memenuhi rohani saya!




Sebagai pendokong usaha menegakkan Islam sebagai deen yang memerintah, kita tidak boleh melupakan tanggungjawab untuk berzikir mengingati Allah SWT sebanyak-banyaknya. Antara kesilapan pendokong gerakan Islam ialah terlalu sibuk dengan urusan sesama manusia dan mad’u, sehingga terabai kualiti hubungan dengan Allah. Tidak pula dinafikan yang kesibukan berdakwah sesama manusia juga adalah sebahagian daripada zikrullah, akan tetapi nilailah sejauh mana kita memperuntukkan masa dan fokus diri untuk berkhalwat, bersendirian bersama Allah SWT.

Sebagai antara pengasas kepada gerakan Islam pasca kejatuhan khilafah, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna amat menitik beratkan amalan berzikir di kalangan ahli al-Ikhwan al-Muslimun. Apatah lagi dengan latar belakang beliau semasa zaman kanak-kanak, beliau pernah membesar di dalam suasana bertariqat. Semasa di Mesir, saya agak beruntung kerana rumah pertama saya di Syari’ Mawazin, Damanhour, letaknya hanya 5 minit berjalan kaki dengan Masjid al-Jamie’ al-Hisofi, tempat Imam al-Banna ditarbiah rohaninya menerusi tariqat Shazuliyyah Hisofiyyah. Walaupun saya secara peribadi kurang selesa dengan cara tariqat itu sekarang, apa yang pasti pengalaman Imam Hasan al-Banna di zaman kanak-kanaknya amat banyak mempengaruhi cara hidup beliau sehingga dianugerahkan syahid.

Beliau telah memperkenalkan wirid zikir al-Ma’thurat kepada umat Islam dan khususnya kepada pendokong gerakan Islam sebagai makanan rohani penguat jiwa mereka. Semasa mencadangkan al-Ma’thurat, al-Banna telah memberikan pesanan terhadap beberapa perkara penting di sebalik al-Ma’thurat:

1. Zikir mengingati Allah sebenarnya perlu dilakukan pada setiap ketika, termasuklah di dalam perkara yang biasanya dianggap sebagai perkara duniawi. Seni mengaitkan amalan dunia yang dilihat tiada kaitan dengan ritual keagamaan, dengan mengingati Allah, adalah suatu seni yang perlu digilap oleh pendokong Islam.

2. Beliau juga memperingatkan kepada ahli Ikhwan mengenai fadhilat zikir. Yang paling utama menurut beliau, ialah dengan mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, seterusnya membawa kepada nusrah dan ketenangan di dalam menggalas amanah dakwah.

3. Adab berzikir turut ditekankan oleh beliau. Adab paling penting ialah menghadirkan kemanisan hati semasa berzikir, dengan memberikan fokus dan memikir falsafah pengertian zikir yang dilafaz lisan. Beliau turut menyatakan keutamaan merendahkan suara di dalam berzikir, dan juga menjaga kebersihan pakaian serta tempat ketika berzikir.

4. Di dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan ahli Ikhwan supaya membaca al-Ma’thurat secara berjemaah atau beramai-ramai, dengan syarat tidak menganggu orang lain yang sedang bersembahyang atau mengerjakan urusan yang lain. Semasa di Mesir, selalu juga saya menghadiri majlis zikir al-Ma’thurat anjuran Ikhwan di beberapa surau perkumpulan mereka. Akan tetapi sekiranya ada rakan mereka yang lewat masuk ke surau kemudian menunaikan solat, mereka secara automatik akan merendahkan suara. Menurut al-Banna, kelebihan berzikir secara berkumpulan ini disentuh di dalam sepotong hadith riwayat Muslim:

لا يقعد قوم يذكرون الله عز وجل إلا حفتهم الملائكة وغشيتهم الرحمة ، ونزلت عليهم السكينة ، وذكرهم الله فيمن عنده

Tidaklah duduk sesuatu kaum itu (berkumpul) berzikir mengingati Allah Azza wa Jall, melainkan dinaungi mereka dengan malaikat, dilimpahi dengan rahmah, dianugerahkan ketenangan dan Allah mengingati mereka terhadap apa yang di sisi mereka.

Ada beberapa perkara yang barangkali ingin saya tambah di sini berkaitan dengan isu zikir dan al-Ma’thurat.

1. Setiap manusia mempunyai selera yang berbeza, baik selera fizikal seperti makan minum berpakaian, mahu pun selera rohani. Ada sesetengah orang, rohaninya lebih berselera dengan banyak menunaikan solat sunat. Ada setengah orang dengan banyak berzikir. Ada sesetengah orang suka berzikir dengan ayat al-Quran. Sesetengah yang lain berzikir dengan wirid-wirid yang diajar oleh nabi, sahabat, atau oleh tok guru mereka. Justeru, carilah selera rohani kita. Secara peribadi, selera rohani saya ialah al-Ma’thurat, dan saya akan didik anak-anak dan keluarga saya mempunyai selera rohani yang sama. Firman Allah di dalam Surah al-Isra’ ayat 84:

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَىٰ سَبِيلاً

Katakanlah (wahai Muhammad) setiap orang beramal mengikut pembawaan jiwanya sendiri. Maka Tuhan lebih mengetahui siapakah yang lebih betul jalannya.

2. Kenapa al-Ma’thurat? Jawapan mudah dan ringkasnya ialah kerana al-Ma’thurat menghimpunkan wirid di dalam al-Quran dan juga di dalam hadith sohih semata-mata. Maksudnya, al-Ma’thurat ialah himpunan doa ma’thur yang diajar oleh Allah dan Nabi. Ayat al-Quran, walaupun kita membacanya tanpa mengetahui maknanya, akan terus mendapat pahala.

3. Bagaimana pula dengan wirid atau hizib atau segala juga istilah zikir yang diajar oleh tok-tok guru tertentu selepas kewafatan nabi? Bagi saya tiada masalah untuk mempunyai disiplin amalan yang dicadangkan oleh tok-tok guru tertentu, dengan syarat ialah tidak bercangah dengan syara’, tidak mempunyai elemen syirik, mempunyai makna yang baik serta pengamalnya faham falsafah pengertian zikir tersebut. Akan tetapi sekiranya dibandingkan antara zikir yang diajar oleh Allah dan Rasulnya, berbanding zikir yang diajar oleh manusia lain, sudah tentu menjadi keutamaan kita mengikuti zikir anjuran Allah dan Rasul. Dan inilah kelebihan al-Ma’thurat.

Allahua’lam bissowab.

sumber - abidfana

2 comments:

Anonymous said...

Ass. Memang sudah jelas setiap ulama muktabar, ada guru tariqatnya kerana zikir adalah amalan Rasulullah SAW dan merupakan amalan para Nabi. Amalan ini menjadi warisan kepada pewarisnya sehingga kiamat Kalau bermasalah bukan tariqat itu tetapi orang yang membawanya. Memohon pertolongan Allah SWT dengan Sunnah Rasulullah SAW iaitu zikir, doa ( cth. Al-Maktsurat ) dan berjemaah ( cth. jemaah tariqat ). Zikir yang diamalkan bagi membawa kepada hampirnya kita kepada Zat Allah Yang Maha Suci melalui mujahadah pada 'maqam' yang dilalui, doa bagi memohon Rahmat dan Kasih sayang Allah SWT dengan membuka hati nurani serta mempermudahkan amalan zikir dan berjemaah bagi bertolong-tolongan dalam zikir kepada Allah SWT kerana dalam kalangan jemaah ada yang mencapai maqam anak yang soleh yang seperti mana Hadis Rasulullah SAW. Carilah guru untuk beramal, bukan sekadar tahu, tetapi merasai. Orang yang berilmu ialah orang yang kenal serta magrifah akan Allah SWT dengan amalan Rasulullah SAW barulah mencapai hakikat yang dapat dilihat pada tingkahlaku yang mulia seperti mana akhlaq Rasulullah SAW. Wallahu'alam. Maaf kalau tersilap.

sunsnake@budakbalun said...

W.salam.
Benar apa yang dicoretkan itu ya akhi..

InsyaAllah.. semoga Allah SWT istiqamahkan kita di dalam kehidupan beragama ini..

Wallahua'lam