Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Friday, April 30, 2010

Teguran Untuk S.S Tan Sri Mufti Harussani

"Penulis agak terkilanmembaca teks kenyataan Mufti Perak, S.S Mufti Tan Sri Dato’ Harussani Zakaria, ‘Ceramah Politik di Masjid Haram’ di dalam akhbar maya Sinar Harian bertarikh 25 April 2010.

Saya seorang yang menghormati S.S Harussani sebagai seorang senior yang arif dalam selok-belok keagamaan, tahu terhadap hukum-hakam Islam. Tetapi mengapa sejak akhir-akhir ini saya merasakan pemikiran Tuan Mufti berkecamuk dengan idea-idea hipokrit UMNO.

Mengapa Tuan Mufti mengeluarkan hukum, tanpa menimbang feqhul waqi’e? Mengapa Tuan Mufti tidak mengeluarkan fatwa ‘haram’ kepada Saiful Bohari yang menggunakan ‘masjid’ sebagai tempat melancarkan sumpah dustanya? Di masjid ada imam dan juga makmum, di luar masjid ada pemimpin dan juga rakyat, adakah kedua-dua kelompok ini berbeza?

Secara falsafahnya, di dalam solat sendiri Allah Taala telah mengajar kita supaya memilih imam (pemimpin solat) yang baik dari segi bacaannya sebagai pilihan utama. Imam tidak dipilih kerana kekayaan, keturunan ataupun pangkat. Seorang imam yang dibenci oleh masyarakat kerana tabiat buruknya, atau sikap mazmumahnya, tidak sepatutnya menawarkan dirinya menjadi imam sekalipun ramai ulama berpandangan solatnya tetap sah. Hal ini berdasarkan hadith Baginda salallahualaihi wasalam, mengenai 3 golongan yang solatnya tidak diterima antaranya ;
[ Imam (pemimpin solat) kepada sesuatu kaum sedangkan mereka membenci imam tersebut… ] R.A Tirmidzi

Seorang imam akan bertakbir sebelum para-makmumnya mengangkat takbir, bersujud sebelum para-makmum bersujud dan secara tidak langsung, politik kepimpinan tersebut wujud di dalam ibadat seperti solat. Sekiranya ada jemaah yang masbuq, jemaah solat wajar memilih seorang imam yang menepati kriteria-kriteria Islami dan kefahamannya terhadap agama. Nyatalah di sini bahawa jawatan imam bukannya tasyrif (untuk dimuliakan), tetapi adalah taklif (tanggungjawab).

Sekiranya imam salah bacaannya, maka makmum wajar menegurnya. Tidak ada kebaikan kepada umat itu yang tidak menegur kesilapan pemimpin, kerana itu peranan ilmuan sangat penting untuk menegur dan menasihati imam-nya (pemimpin). Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam ;

[ Agama itu nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa wahai Rasulullah?. Baginda menjawab, “Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin umat Islam dan kaum Muslimin pada umumnya ]. R.A Muslim

Kemudian kita dianjurkan Baginda salallahualaihi wasalam untuk melaksanakan solat di masjid, sebagai isyarat umum kepada masyarakat Muslim supaya menjadi penduduk yang baik dari aspek sosial di sesebuah negara, atau daerah yang menjadi tempat permukiman kita. Solat di masjid adalah tanda kesatuan, bahawa masyarakat Muslim perlu bersatu menegakkan syariat Allah sejurus selepas kalimah ‘Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH…’ dilaungkan.

Namun, mengapa Tuan Mufti melihat ajaran Islam dalam konteks yang begitu sempit sehingga boleh menimbulkan idea sekular kepada pemikiran masyarakat? Apabila disebut politik, Tuan Mufti akan mengaitkannya dengan pertelagahan parti. Saya tidak faham bagaimana Tuan Mufti memberikan definisi terhadap politik. Jika politik itu diburuk-burukkan sebagai pemecah-belah masyarakat, lalu adakah salah Imam al Mawardi menulis kita al Ahkam Sultaniyyah? Adakah salah Ibn Taimiyyah menulis kitab Siasah as Syar’iyyah? Adakah salah Ibn Qayyim menulis kitab Ahkam Ahl Zimmah? Adakah salah Dr.Abdul Razzaq as Sanhuri menulis kitab Feqhul Khilaafah?

Di dalam al Quran ada satu surah dinamakan al Mukminun, satu surah lagi dinamakan al Munafiqun, dan satu surah lagi dinamakan al Kafirun. Atas tujuan apa Allah Taala menamakan surah-surah sedemikian? Adakah untuk memecah-belahkan masyarakat wahai Tuan Mufti?

Peranan Masjid di Zaman Sebaik-Baik Kurun

Pada zaman Rasulullah salallahualaihi wasallam, masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadat dan solat. Tetapi sebagai tempat yang menghimpunkan segala jenis ibadah dan ilmu, komuniti dan kebudayaan, parlimen dan tempat merancang strategi peperangan, juga sebagai pusat kaunseling dan kemasyarakatan. Masjid dijadikan sebagai markaz dakwah dan darul daulah, iaitu sebagai tempat politik berinteraksi dengan masyarakat. Kerana itu, peranan masjid pada zaman Baginda salallahualaihi wasalam tidak sama seperti zaman mutakhir ini yang mengatakan bahawa ‘masjid bukan tempat berpolitik’. Sedangkan masjid bukan sahaja tempat yang mengkehendaki manusia memperbaiki urusan agamanya sahaja, tetapi termasuk juga memperbaik urusan dunia.

Inilah peranan masjid ketika zaman sebaik-baik kurun yang disebut oleh Baginda salallahualaihi wasalam, masjid sebagai tempat berpolitik dan strategi kenegaraan antara kerajaan parti Islam dan parti Kuffar (pimpinan Abu Jahal dan Abu Lahab), pertembungan parti Islam dan parti munaafiq (pimpinan Abdullah bin Ubai dan Abu Amir ar Rahib yang mendirikan ‘masjid ad dirar’).

Pada zaman Khulafa’ ar Rasyidin pula, masjid masih lagi dijadikan sebagai tempat para pemimpin berinteraksi dengan masyarakat, membentuk strategi politik. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar radhiAllahu anhu ketika beliau dilantik sebagai khalifah pertama menggantikan Rasulullah salallahualaihi wasalam ;

[ Wahai umat manusia, aku telah diberi kekuasaan (khalifah) ke atas kamu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Bila aku melakukan kebenaran maka bantulah aku, tetapi jika kamu melihat diriku pada jalan batil, maka luruskanlah aku ].

Hal yang sama dilakukan oleh Umar al Khattab radhiALlahu anhu di dalam masjid, ketika beliau dilantik menjadi khalifah menggantikan Abu Bakar, beliau tegas mengatakan ;

[ Wahai umat manusia, sesiapa di antara kamu yang melihat aku melakukan penyelewengan maka betulkan aku, maka salah seorang jemaah solat bangkit dan menjawab, ‘Demi Allah jika kami melihat kamu (Umar) melakukan penyelewengan akan kami betulkan kamu dengan pedang kami’. Lalu Umar menjawab, ‘AlhamduliLlah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar seseorang yang sanggup membetulkannya dengan pedang (jika Umar berbuat kesalahan)’ ].

Anda bayangkan jika kalimah ini dikeluarkan oleh rakyat 1 Malaysia pada zaman sekarang, sudah tentu dia akan dibungkam ke dalam ISA. Dan lebih malang lagi, apabila di dalam masjid disebut tentang isu-isu masalah umat, penindasan ke atas golongan-golongan yang dhaif, kebisuan para ulama, maka akan ada orang yang mengaitkan bahawa ‘khatib sedang berpolitik’. Saya hairan, mengapa ada yang melihat definisi ‘politik’ sebagai aktiviti tidak beradab, tiada moral dan berunsur jahat seperti yang difahami oleh orang Melayu jahil.

Kata Dr.Yusuf al Qardhawi menjelaskan keperluan umat Islam untuk berpolitik ;
[ Sesungguhnya berpolitik bukanlah perkara salah seperti melakukan kemungkaran atau dosa sebenarnya jika tujuannya untuk merangka penegakan dasar-dasar Islam, dan juga merangka pnegakan hukum-hukumnya. Manakala politik yang ditolak ialah politik Machiavelli yang menggunakan prinsip matlamat menghalalkan cara, politik yang tidak beriltizam dengan akhlak dan tidak mempedulikan halal atau haram ].

Ketika zaman Khilafah Islam Abbasiyyah, Sultanul Ulama iaitu Sheikh Izzuddin Abd Sallam dan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik. Mereka meniupkan semangat jihad kepada seluruh tentera-tentera Islam, untuk mempertahankan negara dan berperang, membalas serangan tentera Tatar ke atas negara mereka.

Manakala ketika Mesir dimasuki penjajah Perancis, ulama-ulama al Azhar seperti Sheikh Abdullah as Syarqawi, Imam Ahmad ad Dardir menggerakkan tarbiyyah siasah di masjid, menanamkan fikrah kepada masyarakat agar menentang pencerobohan Perancis. Masjid al Azhar juga pernah menjadi markaz penting menggerakkan demonstrasi dan revolusi rakyat Mesir menentang penajajahan British pada tahun 1919. Mufti Palestin, Sheikh al Haj Amin al Husaini juga tidak ketinggalan menjadikan Masjid al Azhar sebagai tempat pengukuhan dasar politik Islam di Timur Tengah, menyedarkan umat Islam dari kalangan bangsa Arab khususnya, agar menentang kezaliman Zionis di Palestin.

Walaupun setelah fakta-fakta ini dinyatakan, saya tidak menafikan sekiranya masjid dijadikan tempat politik kepartian ‘sempit’ sehingga boleh mendatangkan perpecahan, dijadikan tempat untuk mencerca orang, memfitnah (seperti tragedi ‘sumpah dusta’ yang dilakukan oleh Saiful Bohari terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim), maka masjid bukanlah tempatnya bagi tujuan tersebut bahkan ia mencemari kesucian masjid sebagai rumah Allah Taala, yang sepatutnya dibina di atas dasar ketaqwaan.Tetapi ketaqwaan bagaimana yang difahami oleh kita? Bersikap adillah sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan taqwa.

Berpolitik di dalam masjid tiada salahnya jika cara ‘politik’nya betul dan benar. Berpolitiklah dengan cara berhemah dan menurut kehendak Islam yang jelas halal haramnya, serta tujuan dan matlamatnya. Jika berpolitik itu supaya masyarakat kembali kepada Islam, taatkan perintah Allah, adakah ia satu dosa besar seperti kerjasama sebuah ‘kerajaan yang mengaku negara Islam’ dengan sebuah agensi yang ‘pro-Zionis’ seperti APCO?

Buat akhirnya, anggaplah teguran saya ini seperti adabnya teguran Imam Ibn Qayyim kepada Sheikhul Islam Ismail al Harawiyy al Hanbali. Kata Imam Ibn Qayyim ;
[ Sheikhul Islam (Sheikh Ismail al Harawiyy) adalah tokoh yang kami cintai, akan tetapi kebenaran itu lebih lagi kami cintai ].

WALLAHU’ALAAM "

sumber - TKO

0 comments: