Friday, April 30, 2010
Hulu Selangor selepas Pilihanraya Kecil
Hulu Selangor telah kembali menjadi kawasan sunyi dan tersisih. Jalan-jalan utama yang beberapa minggu dan hari lalu menyaksikan kesesakan lalulintas yang luar biasa kini sudah kembali tenang dan lawas. Pekan Kuala Kubu Bahru yang sekian hari menerima kunjungan pelbagai jenis kenderaan dan nombor pendaftaran telah kembali damai dengan hanya kenderaan milik warga tempatan lalu-lalang menguruskan hal seharian.
Di Bukit Sentosa, tapak BN 'Command Center' kembali sepi hanya dihiasi lalang-lalang dan sisa-sisa tinggalan mereka. Di tepi Balai Polis Bukit Sentosa, hanya tinggal kesan-kesan lopak dan becak hasil 'lanyakkan' tayar-tayar jentera berat kontraktor khemah. Disinilah berlakunya kesesakan yang sangat hebat sepanjang tempoh kempen PRK apabila abang-abang Polis meletakkan kenderaan mereka di sepanjang jalanraya hadapan Balai yang sedia sempit itu.
Di sebelah Felda, peneroka kembali menghadap kebun getah dan sawit seperti biasa, walaupun baru beberapa hari mereka dikejutkan dengan kehadiran menteri-menteri kabinet yang secara tiba-tiba mengambil tahu keluh kesah mereka! Oh! Alangkah indahnya kalau PRK ini berlaku setiap bulan! Pastinya kesusahan mereka akan diambil tahu secara terus oleh menteri-menteri malahan Perdana Menteri sendiri!
Di Felda Sg Buaya, sebahagian mereka mungkin sedang sibuk mengira-ngira duit RM50,000 yang diterima pada hari Isnin lepas. Harap-harap tidak ada nama yang tertinggal kerana penderitaan para peneroka ini terlalu hebat akibat dizalimi oleh Kerajaan UMNO Selangor yang terdahulu. Sungguhpun sepatutnya bukan hanya itu nilai tanah mereka, 'tak dapat rotan, akar pun berguna jugak'!. Kerajaan UMNO yang memulakan penderitaan mereka, maka kerajaan UMNO jugaklah yang kononnya menjadi pembela! Wajarkah ucapan terima kasih buat Najib Tun Razak? Seperti mengucapkan terima kasih kepada pencuri yang memulangkan semula barang curiannya!
Anak-anak mereka pastinya akan pulang menyantuni ibu bapa mereka, waris bagi yang telah meninggal dunia pasti akan berkunjung bertanya 'khabar'. Alangkah pilu mengenangkan nasib para peneroka ini. Wang jual tanah yang sepatutnya RM2-3 juta, baru dapat beberapa ratus ribu! Berbaloikah buat generasi mereka yang akan datang? menanti bertahun-tahun pastinya wang RM50,000 itu akan 'selesai' dalam masa beberapa bulan sahaja! Moga mereka berhemah dalam menguruskan hak milik mereka itu dan persoalannya, bila agaknya baki yang berjuta RM itu boleh diterima sepenuhnya?
Di Rasa, walaupun kaum cina hampir-hampir total menolak calon UMNO-BN, janji tetap ditunaikan! Alangkah beruntungnya kaum cina disini, tanpa perlu menjual maruah dan harga diri, mereka tetap dapat apa yang Najib Tun Razak janjikan! Tak seperti pengundi-pengundi Melayu dan India yang sanggup menjual maruah dengan mengundi BN dengan harapan mendapat sedikit laba dan material yang hanya mampu digunakan oleh mereka sendiri? Peruntukan untuk SRJK(C) itu sebenarnya jauh lebih hebat untuk kegunaan sehingga 2 generasi bagi membaiki sekolah yang akan digunakan oleh anak,cucu dan mungkin cicit mereka!
Orang-orang miskin penerima zakat akan kembali seperti dulu. Tiada lagi menteri-menteri akan keluar masuk rumah mereka menghulurkan sampul surat berisi duit, tiada lagi Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang seminggu-dua lalu sibuk menghulurkan borang untuk dikemaskini dan dipenuhi segala keperluannya, selepas ini, semuanya hanya akan kembali menjadi mimpi mungkin mimpi ngeri apabila kembali dihimpit kesusahan 1-2 bulan lagi!
Buat pemimpin masyarakat setempat tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, kembalilah meneutralkan diri dalam menangani masalah rakyat. Suasana pilihanraya telahpun tamat dan mereka yang sebelum ini sibuk dengan urusan parti, maka inilah masanya untuk kembali ke pangkuan masyarakat yang neutral. Bagi rakyat itu penyokong tegar Pakatan Rakyat mahupun totok Barisan Nasional, mereka tetap rakyat Malaysia yang mempunyai hak didalam negara ini. Baik menggunakan mekanisme kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Selangor, yang hak tetap hak dan yang bukan hak tetap bukan hak!
Semoga rakyat Hulu Selangor semakin cerdik berpolitik dalam menjamin kehidupan keturunan mereka di Malaysia ini. Adakah mereka telah membuat keputusan yang terbaik dalam PRK baru-baru ini atau tidak? Sama-sama kita saksikan!
sunsnake 30042010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment