PRK Hulu Selangor sudah pun melabuhkan tirainya semalam. Para petugas baik dari Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional kini dalam 'mode' berehat dan melepaskan lelah. Bagi kami yang tinggal didalam Hulu Selangor ini, pastinya perbualan mahupun perdebatan mengenainya akan berterusan sehingga 2-3 bulan selepas ini!.
Bagi penulis, PRK Hulu Selangor ini bukanlah suatu PRK yang baru namun sebagai tuan rumah, ianya telah menjadikan PRK ini sesuatu yang sangat bermakna dan memberi kesan langsung terhadap pemikiran politik diri.
Setianya PAS dalam Pakatan Rakyat!
Sebagai salah seorang yang terlibat secara terus didalam persiapan sehinggalah pengakhiran di peti undi, penulis amat memahami akan betapa hebatnya setiakawan PAS didalam gerak kerja PRK ini. Sebelum sempat PKR memulakan gerakan lagi, PAS Kawasan Hulu Selangor melalui zon-zon dibawahnya telah memulakan gerak kerja dengan mesyuarat khas pembahagian kerja dan tugasan! Ini amat berbeza dengan UMNO Bahagian Hulu Selangor kerana mereka mempersiapkan jentera adalah kerana mereka amat yakin dan bersungguh mahukan calon mereka dipilih bagi mewakili Barisan Nasional tanpa mempedulikan status Tradisional calon daripada MIC.
Dalam keadaan yang sangat yakin PKR akan menjadi calon, PAS Kawasan Hulu Selangor telah bertindak 'merasmikan' jentera pilihanraya sendiri dan mula bekerja baik melalui PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan juga Dewan Muslimat. Beberapa hari sebelum penamaan calon, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sendiri telah mengadakan mesyuarat khas di Bukit Beruntung bagi merencana dan membuat persiapan ke medan PRK walaupun belum jelas perancangan oleh pihak PKR diwaktu itu!
Gendang Perang Dipalu
Penamaan calon berlangsung pada 17 April 2010, namun Markaz Besar Pemuda PAS di Gesir Tengah telah mula dipenuhi oleh pemuda-pemuda PAS yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia 2-3 hari sebelumnya lagi! Mereka ini datang tanpa meminta walau sesen pun wang tambang, malahan ada yang sesampainya di sini terus menghulurkan wang sendiri bagi membantu jentera pemuda! Allahuakbar! Anak-anak muda ini mula bekerja sebaik sahaja kaki dijejakkan!.
Pada malam sebelum hari penamaan calon itu sendiri, jentera pemuda PAS ini masih bermesyuarat sehingga jam 3 pagi kerana jentera ini perlu mula bergerak 100% sebaik sahaja tamat penamaan calon. Sangat bersemangat anak-anak muda ini! Diseberang jalan, Bilik Gerakan PKR juga telah mula beroperasi. 50 meter dari sini, Bilik Gerakan UMNO masih bingit! dengan nyanyian Karaoke makcik dan pakcik, wah! Lagu 60-an kedengaran!
Anak-anak muda ini menghabisan malam mereka bagi yang tidak dapat tidur dengan perbincangan yang sangat menarik! Fikrah As-syahid Hassan Al-Banna, Gerak kerja Ikhwanul Muslimin, Pemikiran Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu antara tajuk-tajuk 'berat' perbincangan mereka hinggakan penulis sendiri hanya mampu mendengar tanpa bersuara didalam kumpulan itu! Sementara itu diluar, anak-anak muda yang ditugaskan menjaga keselamatan sibuk menambak tanah diatas lopak-lopak disamping bersiap sedia untuk menghadapi apa jua agenda musuh!
Peristiwa hitam Markaz Pemuda Induk Bagan Pinang diserang sangat menjadi pengajaran dan pedoman di hati pemuda-pemuda ini! Manakan mampu melupakan bagaimana biadapnya Pemuda UMNO menyerang dengan menggunakan topi keledar, kayu malahan pedang samurai! Hinggakan ada dikalangan pemuda ketika itu menunaikan solat turut diterajang dan ditumbuk! Semoga Allah SWT mengampunkan dosa anak-anak muda UMNO itu. Mereka dikelirukan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang munafik dan memusuhi Islam!
Halangan Perjuangan Anak Muda PAS
Alangkah irihatinya anak-anak muda ini apabila melihat van-van berlogo UMNO Perak lalu-lalang dihadapan mereka dengan membawa beratus-ratus guni beras 10kg dan pelbagai lagi barangan buat pengundi-pengundi di sini. Irihati mereka bukan kerana kemampuan UMNO menyediakan barangan berkenaan, tetapi irihati kepada bagaimana mahu menyampaikan kebenaran Islam yang melebihi nilai barangan tersebut!
UMNO mengajar bangsa ini dengan cara mendewa-dewakan kebendaan! Siapa yang berduit, dialah WAJIB disokong! Siapa yang mampu memberikan lebih daripada orang lain, dialah yang WAJIB dipuja dan diundi! Hatta didalam pemilihan jawatan UMNO itu sendiri!
Malangnya rakyat sendiri termakan dengan apa yang di'sunnah'kan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini. Didalam keadaan ekonomi yang mencengkam, pendapatan yang sangat tidak menentu, maklumat yang sangat terhad dan juga halangan pemerintah yang berkuku besi, apalah daya rakyat ini untuk bangun dan memahami politik sebenar! Inilah halangan utama bagi pemuda-pemuda PAS ini mengembang dan menyebarkan kebenaran!
Halangan kewangan yang boleh menjadikan UMNO musnah pada pemuda-pemuda ini adalah halangan yang sangat menarik, Seperti memicit jerawat, makin dipicit makin sakit namun ada kenikmatan yang tersembunyi! Dengan kemampuan kewangan yang sangat-sangat terhad, pelbagai aktiviti yang telah dirancang cuba juga dilaksanakan sebaik mungkin di dalam usaha menyampaikan kebenaran kepada masyarakat Felda. Ceramah lazim, jamuan rakyat, sumbangan barangan dapur yang sangat sedikit buat 30-40 buah rumah adalah antara aktiviti yang terdaya anak-anak muda ini lakukan. Selebihnya terserahlah kepada Allah SWT bagi membantu perjuangan ikhlas ini.
Masa Depan Perjuangan Pemuda PAS
Jika ditakdirkan Allah SWT PAS dan Pakatan Rakyat mampu menguasai Malaysia, InsyaAllah kita akan jadi kerajaan yang baik sepertimana telah dibuktikan di beberapa buah negeri ketika ini dan jika tidak, menjadi pembangkang yang baik adalah jauh lebih baik daripada menjadi kerajaan yang gagal dan senantiasa menyalahkan rakyat apabila terbukti gagal!
Sebagai sebuah parti politik dan dakwah yang menjadikan Al-Quran, Hadis, Qias dan Ijma' Ulama' sebagai dasarnya, keyakinan dan iltizam anak-anak muda PAS ini akan tetap subur dibawah kepimpinan Ulama'. Proses tarbiyah dan pendidikan didalam PAS sangat-sangat berkesan dalam menyediakan kader-kader kepada perjuangan Islam yang benar dan suci ini.
Jalan kemenangan sangat jelas dan terang. Janji Allah SWT akan kemenangan buat perjuangan menegakkan agama-Nya menjadi pasak yang sangat ampuh didalam setiap liang roma dan darah disetiap inci jasad dan roh anak-anak muda ini. Kesinambungan perjuangan pejuang-pejuang terdahulu menjadi sumber inspirasi dan impian mereka. Indahnya syahid menjadi matlamat akhir kehidupan mereka! Dan InsyaAllah, jika bukan sekarang, kemenangan Islam akan disambut oleh anak,cucu mahupun cicit nanti.
Bukan kemenangan yang Allah SWT persoalkan kelak, tetapi adakah keluar berjuang yang akan ditanya dialam kemudian nanti...
Catatanku...
sunsnake 26042010
0 comments:
Post a Comment