Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Wednesday, March 30, 2011

Rahsia Buku Jingga Siri 3 (Kemakmuran, Keadilan Sosial dan Persaudaraan Rakyat bersama Pakatan Rakyat)


KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama.
Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan selama ini.
Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan.
Ini akan dilakukan melalui pengenalan langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.
Rekod pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi oleh lawan.
Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus, berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau bebas.
Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:

Membebaskan Institusi Negara

Merakamkan pentingnya institusi-institusi negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi negara dari cengkaman campur tangan politik.

* Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar (Council of Experts) dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

* Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen setiap enam bulan sekali.

* Memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani.

* Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi negara dari campur tangan politik.

Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil

Menghargai pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Persoalan ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra telah diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah, sedangkan rakyat terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan. Kaedah meningkatkan pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang langsung kepada ratusan ribu keluarga yang masih berada di bawah garis pendapatan RM1,500 sebulan.

* Menyiasat dan bertindak ke atas penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra, sedangkan majoriti rakyat masih lagi berada di dalam kategori rakyat miskin.

* Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim air percuma, skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.

* Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak distrukturkan terlebih dahulu.

* Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi.

* Menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.

Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat

Menyedari terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak supaya pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:

* Menstrukturkan kembali empat bidang infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini dibayar oleh rakyat dapat dikurangkan dengan menghentikan manipulasi monopoli untuk keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi. Empat bidang infrastruktur dan utiliti awam ini adalah bekalan air, bekalan elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan Rakyat akan memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui kaedah pengurusan yang lebih kompetitif.

* Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat.

* Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.

* Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.

* Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini, projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih dan sedang dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

* Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Pemberdayaan Rakyat

Merakamkan peranan rakyat sebagai mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Meneruskan pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan mengamalkan ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini termasuklah dengan menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

* Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO menjadi suara pembela rakyat.

Golongan Pendidik Diutamakan

Merakamkan penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan marhaen yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan terus kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan khidmat mereka.

* Memperjuangkan pengharmonian gaji pendidik yang berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan prinsip memastikan kriteria penilaian yang lebih adil kepada guru-guru mengambil kira kepakaran dan tempoh berkhidmat.

* Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan golongan profesional di dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan doktor yang diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk menjamin mutu pendidikan negara.

* Menilai semula guna tenaga semasa di sekolah-sekolah untuk memastikan semua guru-guru terlatih dan berkelayakan, termasuk menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.

* Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran dalam dunia pendidikan yang membebankan golongan pendidik, terutamanya pertukaran-pertukaran dasar utama yang silih berganti dan mengongkong golongan pendidik kepada kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran yang mengurangkan masa pengajaran dan pembelajaran.

Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti

Mengangkat krisis kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah utama negara, Pakatan Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan tumpuan khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha memartabatkan universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:

* Mengembalikan kebebasan intelek dan akademik kepada universiti, dengan menghapuskan semua campur tangan politik dalam urusan universiti.

* Mewujudkan Panel Pemilih yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan menilai calon-calon pimpinan universiti supaya calon yang terbaik diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti komitmen Pakatan kita kepada prinsip meritokrasi akademik di universiti.

* Menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa.

* Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.

* Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.

* Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.

Memerangi Rasuah

Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Membawa pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen, termasuk dalam urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi SPRM.

* Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan jurang berlakunya rasuah.

* Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti untuk membela individu atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak mengira fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul tanggungjawab memerangi rasuah.

* Meneruskan amalan tender terbuka yang telah dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan inovasi baru dalam pentadbiran perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur perolehan agar bebas dari anasir rasuah.

Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi

Menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited untuk:

* Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.

* Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah dan Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.

* Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

* Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri lain di dalam Persekutuan.

* Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati semangat Persekutuan.

0 comments: