Sunday, August 22, 2010
Rakyat Diminta Bijak Berbelanja, Penguasa?
Rakyat diminta bijak berbelanja
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menasihatkan rakyat berbelanja dengan bijak sepanjang Ramadan ini dan tidak melampaui kemampuan.
Perdana Menteri berkata, dengan tidak boros berbelanja akan dapat mengelakkan daripada menyusahkan diri sendiri pada bulan yang lain.
Beliau yang meluangkan kira-kira setengah jam bagi melawat dan beramah mesra dengan pengunjung serta bertanya khabar kepada peniaga di Bazar Ramadan Presint 2 di sini, berkata orang ramai juga harus mengelak daripada membeli melebihi keperluan.
“Yalah, apabila kita berbuka (puasa), semua (yang) kita pandang kita rasa hendak (beli). Jadi, itu mungkin menyebabkan kita beli lebih daripada keperluan.
“Justeru, lebih baik kalau kita beli secara berhemah dan berpada-pada supaya apa juga pendapatan kita itu boleh menampung segala keperluan kita dalam bulan Ramadan dan pada bulan-bulan lain,” katanya kepada pemberita selepas mengakhiri lawatannya kira-kira jam 6.40 petang, semalam.
Sumber: Utusan Malaysia 17/08/10
Rakyat Diminta Bijak Berbelanja, Penguasa?
Inilah kata-kata ‘bijak’ pemimpin Malaysia dari dahulu sehingga sekarang. Apabila tiba musim perayaan, maka seringkali rakyat akan dinasihati agar bijak berbelanja. Dengarnya agak baik. Mereka berharap agar rakyat tidak berbelanja secara boros dan membabi buta, mungkin itulah objektif saranan tersebut.
Di sebalik nasihat yang baik ini kepada rakyat, pernahkah terlintas di dalam benak fikiran kita (sebagai rakyat), bagaimanakah para pemimpin (penguasa) selama ini membelanjakan harta kekayaan Negara? Adakah mereka boleh diklasifikasikan sebagai manusia yang bijak atau sebaliknya tatkala membuat sesuatu keputusan dalam menentukan hala tuju ekonomi Negara yang sedang mereka terajui? Lebih tepat lagi (sebagai seorang muslim), adakah mereka membelanjakan harta dan amanah Allah SWT di muka bumi ini berdasarkan apa yang diperintah dan ditegah olehNya?
Realiti yang ada di hadapan kita dapat memberikan jawapannya. Saban hari yang kaya semakin kaya, manakala yang miskin semakin miskin. Inilah hasil penerapan sistem kapitalisme yang pincang. Kita dapat lihat misalnya, tatkala harga minyak dinaikkan oleh kerajaan, rakyat diminta untuk memahami pengorbanan Negara yang telah memberikan subsidi dalam satu tempoh yang lama, walhal minyak itu sendiri adalah hak milik rakyat yang sedang mereka niagakan. Ketika harga gula dinaikkan, dan gula entah hilang ke mana, ketika itulah keluar kenyataan dari pak-pak Menteri agar rakyat diminta untuk bijak menggunakan gula dan tidak membazir! Itulah yang berlaku berulang-ulang, jika ada kenaikan harga dan penarikan subsidi oleh kerajaan, maka hal yang samalah keluar dari mulut-mulut pemimpin yang ‘bijak pandai’ ini di Malaysia! Mereka seakan-akan hendak mengatakan bahawa rakyat di Malaysia kurang bijak dalam berbelanja, sehingga perlu diingatkan berkali-kali tentang penjimatan dan pengurangan kadar konsumsi setiap barang yang sedang meningkat naik harganya. Jika kelak berlaku kenaikan kadar bayaran bagi tandas-tandas awam di Malaysia sehingga mencecah RM2, mungkin ketika itu jugalah para menteri yang alim lagi bijaksana ini akan meminta agar rakyat tidak kerap keluar rumah, dan menggunakan tandas peribadi di rumah!
jebbat.blogspot
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment