Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Thursday, July 8, 2010

Anak Luar Nikah - Natijah Sistem Sekular

81,000 anak luar nikah berdaftar membimbangkan - IIM

IPOH 29 Jun - Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang membimbangkan. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat. Menurutnya, sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai 'gila Internet' dan mereka mempunyai akses terhadap penyaluran maklumat melalui alam maya yang begitu luas. ''Perkenalan melalui Facebook dan laman sosial lain akhirnya mengundang kepada pergaulan bebas sehingga membawa kepada keterlanjuran dan sebagainya. ''Ini berlaku jika kita tidak memiliki benteng dan integriti diri yang kuat dalam era globalisasi kini,'' katanya pada Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Sektor Sosio Budaya IIM, Hamilye Sham Harun. Seminar sehari tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim. Menurut Mohd. Tap, penyaluran maklumat secara berleluasa menyebabkan masyarakat terutama golongan muda lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan amalan masyarakat di negara ini dan tanpa disedari ia meresap ke dalam diri mereka. Dalam hal itu, katanya, semua pemimpin masyarakat perlu memberi tumpuan dalam melaksanakan usaha pengukuhan integriti golongan belia yang merangkumi 11.8 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Sementara itu Abdul Rahman berkata, pemimpin masyarakat perlu mempamerkan nilai-nilai integriti yang tinggi terlebih dahulu agar mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat. ''Sebagai 'duta integriti' dalam masyarakat, mereka harus terlebih dahulu menanamkan nilai-nilai terpuji dalam kehidupan seharian seperti mengamalkan budi bahasa yang baik, berakhlak mulia, amanah dan tinggi tahap akauntabiliti masing-masing,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 30/06/10

81,000 Anak Zina Bersepah Di Malaysia. Apakah Para Pemimpin Umat Islam Hari Ini Bisu, Beku Dan Memiliki Hati Yang Keras Seperti Batu?

Apa lagi yang boleh kita perkatakan mengenai statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jakim di atas? Inilah kesan dan akibatnya apabila sistem Islam tidak diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Bukannya 81 orang atau 810 orang tetapi 81,000 orang anak zina bersepah di Malaysia ini!!! Suatu angka yang cukup mengerikan. Jumlah ini mengambarkan betapa parahnya institusi masyarakat kita hari ini. Sewajarnya jumlah yang cukup tinggi ini menyedarkan para pemimpin umat Islam hari ini akan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu mereka pikul untuk kembali menerapkan Islam termasuklah sistem sosial Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Yakinlah bahawa inilah satu-satunya jalan penyelesaiannya. Tidak ada yang lain. Ketahuilah bahawa selagi para pemimpin umat Islam ini berpaling dari kewajiban untuk menerapkan sistem kehidupan Islam maka selama itulah kita akan menuai dan mengutip buah-buah busuk hasil dari guguran pokok Kapitalisme yang berakar umbi di dalam kehidupan umat hari ini. Firman Allah SWT: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. [TMQ Al Baqarah (2) : 85]. FirmanNya lagi: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) : 124].

Dulu Mahathir dan Pak Lah berkuasa. Dan kini Najib. Apakah mereka rasa tidak bersalah dengan jumlah anak haram yang bersepah ini? Ataupun hati mereka telah keras seperti batu melihat jumlah angka anak haram ini? Ketahuilah bahawa di tangan pemimpin yang berkuasa saat inilah sebenarnya tanggungjawab untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bernegara. Wahai Najib! Seruan 1Malaysia itu tidak ada nilainya di sisi Allah SWT. Hanya seruan mengajak manusia kepada Islamlah yang bernilai dan yang paling utama di sisi Allah SWT. “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" [TMQ Fussilat (41) : 33].

2 comments:

mak_ngoh_selamoh said...

lain pula angka ini... mak ngoh rujuk harakahdaily.net semalam bukan 81000

budakbalun said...

artikel ni gunakan utusan sebagai sumber rujukan... Wallahua'lam mak ngoh oiii!!