Tuesday, May 25, 2010
Pelaung Azan yang Pertama di Dunia!
BILAL Bin Rabah ialah muazin pertama dalam Islam. Bilal termasuk golongan pertama masuk Islam atau orang ketujuh memeluk Islam pada awal penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad SAW. Perhubungan atau komunikasi Bilal dengan Islam bermula ketika beliau menjadi hamba kepada Umaiyyah. Perbincangan Umaiyyah dengan tetamunya mengenai kehadiran agama baru (Islam) yang dibawa Nabi Muhammad SAW, secara tidak langsung didengar Bilal.
Walaupun ketika itu Bilal belum mengenali Muhammad SAW secara peribadi, beliau sering mendengar berita Nabi SAW seorang lelaki sederhana, jujur dan telus dari Bani Hasyim itu sangat dihormati bangsa Quraisy. Bilal tertarik dengan Islam dan ajaran yang dibawa Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.
Kerana itu, Bilal segera menemui Saidina Abu Bakar yang terlebih dulu memeluk Islam. Bilal meminta Abu Bakar menghantarnya menemui Rasulullah SAW. Bilal tidak menunggu waktu lama untuk menyatakan keIslamannya di hadapan Nabi SAW.
Keimanan Bilal terus diuji selepas mengucapkan kalimah syahadah, jika Abu Bakar as-Sidik dan bangsawan Quraisy lainnya aman daripada perlakuan kejam sesama bangsa Quraisy yang benci terhadap Islam, lain halnya dengan Bilal.
Sebagai hamba daripada anggota suku Quraisy yang pernah dianiaya dengan kejam, Bilal dipaksa keluar dari agama Islam dan kembali kepada agama nenek moyangnya yang menyembah berhala.
Majikannya, Umaiyyah memaksa Bilal keluar daripada Islam dengan segala cara dan paksaan. Pada suatu hari yang panas terik, Bilal dipaksa memakai baju besi, kemudian ditanam dalam pasir yang sangat panas hingga kepalanya saja yang nampak.
Bilal sering dipaksa Umaiyyah untuk berbaring telentang di atas pasir yang sangat panas. Kemudian tubuh Bilal ditindih batu yang besar dan berat. Pada waktu lain, Bilal diikat lehernya dan diseret ke kota Makkah. Meskipun demikian, Bilal tetap bertahan seraya mengucapkan kalimah ʽAhad, Ahadʼ (Allah Yang Esa).
Akibat penyiksaan luar biasa kejam itu, Bilal pun pengsan. Ketika sedar kembali, di hadapannya berbunyi teriakan Umaiyyah yang memaksanya untuk keluar daripada Islam. Dengan kejam Umaiyyah mengancam akan membunuhnya serta menyeksanya, kecuali ia tidak mengakui Muhammad SAW sebagai utusan Allah. Namun, Bilal tetap teguh, patuh dan bertahan dengan penuh keyakinannya.
Suatu hari, Abu Bakar berjalan melintasi tempat di mana Bilal sedang mengalami penyiksaan. Kerana kasihan, Abu Bakar segera meminta Umaiyyah menjual Bilal kepadanya.
Kerana tidak rela Bilal dimiliki Abu Bakar, Umaiyyah menaikkan harga yang sangat tinggi, namun Abu Bakar tetap sanggup membayarnya. Kemudian Bilal bekerja dengan Abu Bakar, namun selepas itu beliau berhenti dan membantu Rasulullah SAW menyebarkan ajaran Islam. Bilal juga menjadi pengawal Rasulullah SAW yang sentiasa siap sedia membela rasul.
Waktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Bilal ikut bersama, ia selalu menemani dan menjaga Rasulullah SAW di mana pun berada, termasuk dalam setiap peperangan.
Pada awalnya, untuk mengetahui waktu sembahyang, umat Islam melaksanakannya dengan terlebih dulu menentukan waktu, kemudian berkumpul untuk sembahyang. Namun, kerana kesulitan akhirnya Rasulullah SAW berfikir untuk memanggil umat Islam menunaikan sembahyang menggunakan terompet.
Namun, Rasulullah SAW sendiri tidak menyukai hal itu kerana orang Yahudi juga menggunakan cara sama. Akhirnya, disepakati panggilan azan ketika memasuki jam sembahyang dilakukan dengan tepukan tangan.
Tidak berapa lama kemudian, salah seorang sahabat, Abdullah Bin Zaid datang menemui Rasulullah SAW. Dia berkata bahawa dia bermimpi bertemu seorang lelaki yang menggunakan dua helai kain berwarna hijau sambil membawa loceng.
Dalam mimpi itu, Abdullah lalu menawarkan dirinya untuk membeli loceng berkenaan. Ketika lelaki itu bertanya untuk tujuan apa loceng itu, Abdullah menyatakan loceng itu akan digunakan untuk memanggil orang mengerjakan sembahyang.
Namun, lelaki itu menawarkan panggilan sembahyang yang lebih baik iaitu seruan azan yang kita dengar hari ini. Dengan sukacita, Rasulullah SAW menyatakan bahawa itu adalah seruan baik.
Rasulullah SAW segera meminta Abdullah menemui Bilal dan mengajarkan azan itu kepadanya. Bilal dipilih sebagai muazin kerana dia memiliki suara indah dan lantang, sehingga boleh menjangkau jarak yang jauh.
Mulai saat itu, pertama kali azan diperdengarkan di Madinah dan Bilal menjadi muazinnya. Selepas selesai azan dikumandangkan, Bilal berdiri di depan pintu rumah Rasulullah SAW dan berkata (mari kita sembahyang, mari mencapai kemenangan). Ia berucap mengingatkan Rasulullah SAW bahawa sudah masuk waktu sembahyang, begitulah Bilal setiap kali ia selesai azan.
Bilal menjadi muazin Rasulullah SAW hingga Baginda wafat. Umat Islam tidak melupakan kewajipan sembahyang walau pun Nabi sudah meninggal dunia. Kerana itulah mereka meminta Bilal untuk azan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment