Assalammualaikum & Selamat Sejahtera,
Isu ‘Siapakah Menteri Besar Perak’ telahpun melabuhkan tirainya semalam.Walaupun perit untuk kita terima namun ini sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk semua lapisan dalam jemaah PAS meningkatkan lagi usaha dan gerak kerja. Sebaiknya kita merenung kembali permasalahan sebenar yang sepatutnya kita ambil iktibar.
Dimana calon-calon PAS?
PAS Perak meletakkan calon-calon di beberapa kerusi DUN dalam Pilihanraya Umum ke-12. Namun kemenangan hanyalah sedikit. Dimanakah calon-calon ini sekarang? Umum mengetahui bahawa yang membuat onar dan menjadi pengkhianat adalah calon-calon PKR dan DAP yang telah menang didalam Pilihanraya dan dilantik menjadi ADUN dan seterusnya EXCO. Disinilah sebenarnya rahsia kelemahan kita. Calon kita tewas! Noktah!. Mengapa di Kelantan dan Kedah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat agak stabil dan sangat kurang isu-isu yang boleh menyebabkan keruntuhan kerajaan negeri?Apa pula rahsianya? Ianya adalah kerana PAS telah memenangi majority kerusi Dun dan kesepakatan didalam Pakatan Rakyat telah melayakkan kita menjadi teraju utama dalam kepimpinan kerajaan negeri. Tanpa menafikan dan memperlekehkan PKR dan DAP, saya merasakan bahawa selaku parti yang paling senior didalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP wajib mempelajari sesuatu daripada PAS. Apakah rahsianya ADUN-adun dan ahli-ahli PAS begitu istiqamah dalam politik? Apakah puncanya? Apakah yang menarik didalam usaha tersebut? Apakah ‘x-factor’ nya?
PKR dan DAP wajib Berlapang dada
Didalam isu lompat parti ini, PKR dan Dap sebenarnya terpaksa merendahkan diri dan berlapang dada bagi menerima hakikat bahawa setakat ini PAS adalah parti yang paling konsisten dalam hal kesetiaan. Isu-isu seperti Kerajaan Perpaduan hanyalah mainan media dan dendam UMNO sahaja. Kesediaan Tuan Guru Nik Aziz menghadiri perbicaraan Anwar Ibrahim adalah salah satu contoh betapa PAS sebenarnya sangat-sangat komited dalam perjuangan dan dalam konteks Pakatan Rakyat.Jika pertemuan pimpinan PAS dan UMNO selepas PRU 12 menjadi ukuran, bukankah DS Anwar Ibrahim sendiri mengakui malah selalu bertemu dengan pimpinan-pemimpin UMNO? Adakah PAS meragui DS Anwar Ibrahim? Semalam, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, UMNO-Bn telah secara terang mengkhianati bukan sahaja rakyat negeri Perak malah Perlembagaan Malaysia itu sendiri! Dan sepatutnya ini menjadi satu pengajaran yang sangat menyakitkan dan bermakna bagi Pakatan Rakyat. Bukankah DS Nizar itu sendiri adalah ikon Pakatan Rakyat Perak? Malahan jika boleh ingin saya nobatkan beliau sebagai ikon 1Malaysia yang sebenar!
Jadikan Pakatan Rakyat Perak sebagai contoh
Krisis perlembagaan di Perak sebenarnya adalah contoh terbaik jika mahu memilih ‘roll model’ Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat Perak seolah-olah ‘dilahirkan’ apabila berlaku ‘masalah’ sewaktu pemilihan calon untuk dilantik sebagai Menteri besar Perak sehinggakan terpaksa 2 kali bertemu dengan Sultan Perak. Ketika itu sebenarnya berlaku peristiwa ‘kelahiran’ Pakatan Rakyat apabila situasi yang sangat-sangat kritikal kerana ianya melibatkan kepercayaan, integriti dan ego ketiga-tiga parti didalam Pakatan Rakyat. DAP dengan keegoan kerana mempunyai jumlah kerusi Dun yang tertinggi, PKR kerana mempunyai lebih kerusi Dun dan PAS yang sebenarnya menunjangi gerak kerja pilihanraya dengan petugas-petugas parti yang sangat komited dan tersusun organisasinya. Akhirnya dengan tidak semena-mena DS Nizar yang tidak sangat dikenali muncul sebagai Menteri besar yang ahli-ahli PAS sendiri terkejut dan tidak berapa kenal!YB Ngah Koo Ham sendiri mengakui bahawa pada mulanya ahli-ahli DAP Perak sangat tidak mempersetujui akan perlantikan DS Nizar namun kini perkara sebaliknya berlaku apabila mereka mahupun DS Nizar tetap menjadi Menteri Besar dimasa akan datang! Inilah kualiti yang berjaya ditunjukkan oleh DS Nizar dan disokong oleh ribuan ahli-ahli PAS dan PKR Perak.
Masa Depan yang Cerah untuk Malaysia
Bukan lagi persoalan bahawa semakin hari semakin muak rakyat Malaysia terhadap UMNO-BN. Ini bukanlah lagi rahsia. Namun yang menjadi keraguan rakyat adalah mampukah Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional? Asas kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional dahulu adalah Melayu yakin dengan UMNO, Cina yakin dengan MCA/Gerakan dan India yakin dengan MIC. Kepercayaan rakyat terutama kaum Cina dan India telah hampir lumpuh 100% cuma kepercayaan Melayu kepada UMNO sahaja yang menjadi persoalan dan cabaran buat kita. Pakatan Rakyat tidak lagi seharusnya dilihat hanya layak memerintah negeri, sewajibnya kita berpemikiran seperti kita di Putrajaya! Pimpinan PKR dan DAP wajib menelusuri kembali kesetiaan ahli-ahli PAS terhadap parti terutama pimpinan mereka dan PAS pula wajib memahami dan memberikan tunjuk ajar yang sangat-sangat berguna selaku parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi serangan dan kezaliman UMNO-BN. Sesungguhnya ditangan Pakatan Rakyat kini terletak suatu cabaran yang bukan sedikit dan berisiko. Harapan rakyat Malaysia terhadap sebuah Kerajaan Malaysia yang lebih berkebajikan, bertanggungjawab dan mempermudahkan kehidupan rakyat dan keturunannya!
Sunsnake 10022010
0 comments:
Post a Comment