Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Manusia yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai oleh hawa nafsu dan hidup dibelenggu dengan perbuatan maksiat amat sikit bahkan mungkin juga sama sekali
tidak mengingati bahawa malaikat maut pasti akan datang membawa perintah Allah S.W.T untuk meragut nyawanya. Sekiranya golongan ini mengingati kematian,
pasti mereka bukan ketakutan atau bersedih hati kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat kelak, tetapi ia gusar mengenangkan
harta-bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya. Firman Allah S.W.T.:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. – Aali `Imraan (3) : 185
Ketahuilah bahawa kematian pasti akan tiba terhadap seluruh umat manusia tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan dalam masyarakat, kekayaan harta benda
mahupun golongan yang dilihat gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri dari menghadapi maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian bagi seseorang maka ianya tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah S.W.T.:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)". - Al-Jumu'ah (62): 8
"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu;
(maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)". – Nuh (71) : 4
Dengan mengingati kematian maka kita akan lebih berwaspada dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menurut perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan meninggalkan segala larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Dengan mengingati kedatangan kematian ianya boleh menyebabkan kita teruja untuk membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya nanti. Oleh itu Islam amat menganjurkan agar kita sentiasa mengingati tentang kematian.
Di antara cara-cara yang terbaik untuk mengingati kematian adalah seperti berikut:
a) Kita menegenangkan ahli keluarga kita, sahabat handai kita mahupun sesiapa sahaja yang boleh mempengaruhi hidup kita yang telah terlebih dahulu meninggal dunia. Kita kenangkan mereka semasa hidup dahulu mungkin memiliki harta kekayaan yang banyak, jawatan yang besar serta disanjung masyarakat tetapi kini dibiarkan keseorangan di dalam kubur. Hartanya,
kedudukannya serta sanjungan orang ramai tersebut kini telah terpisah darinya. Rentetan dari itu hendaklah kita serapkan dijiwa kita bahawa kematian juga pasti akan menjemput kita dan kita juga bakal akan keseorangan di alam kubur.
b) Hendaklah kita menziarahi kubur kerana ianya dapat membantu kita untuk mengingati bahawa kita juga akan menghadapi nasib yang serupa dengan ahli kubur tersebut.
…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 976.
Malah doa yang disunnahkan ketika menziarahi kubur juga mengingatkan yang sedang berdoa bahawa dia juga bakal menyertai ahli kubur tersebut di masa hadapan.
Di antara doa-doa tersebut adalah:
Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. -
Hadis riwayat Imam Muslim, no: 975.
Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya Allah kami akan menyusul. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 974.
c) Islam juga menganjurkan kita untuk menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengkebumian seorang Muslim yang lain kerana sedikt-sebanyak perkara-perkara tersebut dapat mengingatkan kita tentang kematian. Al-Barra' bin `Aazib r.a berkata:
Rasulullah s.a.w. menyuruh menjenguk orang sakit menghantarkan jenazah, menyambut doa pada orang bersin, menepati sumpah, menolong orang yang teraniaya, mendatangi undangan dan menyebarkan salam. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2445.
Menyedari bahawa mengingati kematian ini dapat membawa nilai-nilai yang positif terhadap setiap insan maka terdapat banyak dalil yang menganjurkan manusia agar selalu ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4248
Namun begitu mengingati kematian bukan bermaksud kita mendoakan agar dipercepatkan kematian terutamanya ketika kita ditimpa musibah kerana perbuatan tersebut adalah dilarang oleh syarak. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Janganlah seseorang itu menginginkan mati kerana bala yang menimpanya, tetapi jika dia terpaksa menginginkan kematian maka hendaklah membaca (doa):
Ya Allah, lanjutkanlah hidup saya sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan segeralah matikan saya sekiranya mati itu lebih baik bagiku.
-Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5671.
Mengingati kematian sekadar meyakini bahawa lambat laun ajal kita pasti akan ditamatkan dan kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi maut. Rasulullah s.a.w. juga telah mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia yang paling
bijaksana.
Dari Ibnu `Umar dia berkata: Aku bersama Rasulullah s.a.w., lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda kemudian mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. lalu dia bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?
Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.
Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?
Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik. – Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4249.
Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa bagi seseorang yang sedang menghadapi kesulitan hidup. Ia akan menimbulkan kesedaran bahawa dunia
bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya kekal abadi selama-lamanya. Bagi mereka yang dianugerahkan dengan kesenangan dalam kehidupan, maka mengingati kematian dapat menjauhkannya dari segala kerlipan serta godaan duniawi. Kematian akan menyedarkannya bahawa segala kesenangan berbentuk duniawi itu tidak kekal dan dia bakal akan berpisah darinya. Hanya kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Ini dapat menggerakkan jiwanya untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia
itu demi untuk mencapai kebahagian di akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Perbanyakkan mengingati pemutus kenikmatan iaitu kematian, kerana sesungguhnya tidaklah seseorang yang mengingatinya di waktu sempit kehidupannya, kecuali
(mengingati kematian) itu melonggarkan kesempitan hidup atas orang itu. Dan tidaklah seseorang mengingatinya di waktu luas (kehidupannya), kecuali
(mengingati kematian) itu menyempitkan keluasan hidup atas orang itu.
– Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami' al-Saghir no: 1400.
Oleh itu dengan menyedari setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi maut dan maut itu akan datang pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T. tanpa penangguhan mahupun dipercepatkan waktu kehadirannya, pasti ianya akan menimbulkan semangat untuk segera melakukan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya seseorang itu menangguh-nangguhkan untuk melakukan amalan yang soleh dan ternyata ajalnya tiba ketika sedang asyik melakukan maksiat maka dia termasuk orang yang merugi dan bakal mendapat balasan yang buruk di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T.:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun (63) : 9-11
Justeru itu setiap umat Islam seharusnya memanfaatkan seluruh kehidupannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan mengerjakan segala amalan yang diperintah oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya dan meninggakan larangan-Nya sebelum ditimpa kematian.
Dari `Abdullah bin `Umar dia berkata: Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda:
Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah seorang yang asing atau seorang musafir.
Dan Ibnu `Umar menyatakan: Jika engkau masuk waktu subuh, maka janganlah engkau menanti senja. Jika engkau masuk waktu senja, maka janganlah menanti subuh. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu dan ambillah dari hidupmu untuk matimu.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5937.
Oleh itu diwaktu badan kita sedang sihat ini hendaklah kita manfaatkan semaksimum mungkin untuk menjadi hamba yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh.
Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terpaksa hidup di dalam keuzuran sampaikan kita tidak mampu melakukan amalan-amalan yang soleh. Kita pergunakan hayat kita ini dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah
esok mahupun lusa malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa kita sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.
Semoga penulisan ini akan mengingatkan diri kita semua terutamanya penulis sendiri akan kematian yang bakal tiba dan mudah-mudahan ianya dapat meningkatkan keinginan kita untuk melakukan apa jua persiapan yang sewajarnya demi untuk menghadapi kematian tersebut. Hamid al-Qaishari pernah berkata:
Kita semua telah menyakini kematian, tetapi kita tidak melihat orang-orang yang bersiap-sedia menghadapinya!
Kita semua telah meyakini adanya syurga, tetapi kita tidak melihat oarang yang beramal untuknya!
Kita semua telah meyakini adanya neraka, tetapi kita tidak melihat orang-orang yang takut terhadapanya!
Maka terhadap apakah kamu bergembira? Kemungkinan apakah yang kamu nantikan?
Kematian! Itulah yang pertama kali yang akan datang kepadamu dengan membawa kebaikan atau keburukkan.
Wahai saudara-saudaraku! Berjalanlah menghadapi Penguasamu (yakni Allah) dengan perjalanan yang bagus.
– Mukhtashar Minhajul Qashidin, ms. 483, tahqiq Syaikh Ali bin Hassan al-Halabi.
sunsnake 23112010
Pelajar meninggal dunia sejurus sebelum SPM bermula
KULAIJAYA, 23 Nov — Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika sesi taklimat sejurus sebelum mula menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, dekat Ledang di Muar, hari ini.
Seorang lagi calon SPM di Kluang meninggal dunia semalam akibat penyakit buah pinggang.
Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran berkata pelajar SMK Ledang, Hazizul Hasah, 17, telah mengadu sukar bernafas kepada pengawas peperiksaan sebelum dibawa keluar dari dewan peperiksaan dan ditempatkan di bilik rehat.
“Pihak pentadbiran sekolah menghubungi ambulans, bagaimanapun, pelajar lelaki itu disahkan sudah meninggal dunia selepas 10 minit pegawai perubatan tiba di sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon SPM Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura di sini hari ini.
Peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bermula hari ini.
Markom berkata Hazizul dipercayai menghidap penyakit jantung.
0 comments:
Post a Comment