Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Monday, July 12, 2010

Setelah 8 Tahun Pemergian Fadzil Noor






SELEPAS 8 tahun Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggal, Jun 2002, Jun 2010 Ustaz Shukri pula meninggal.

Memperingati lapan tahun Presiden PAS kembali menemui Tuhannya, PAS Kawasan Permatang Pauh menganjurkan majlis memperingati perjuangan pemimpin besar ulama negara dasawarsa 90an dan 2000.

Saya diberi penghormatan untuk meriwayatkan beberapa perkara penting dalam sejarah dan kehidupannya sepanjang lebih 60 tahun itu.

Bagi saya beliau dilahirkan bagi menjadi pemimpin Islam yang tabah, berhati-hati, teliti, berpandangan jauh dan berfikiran tajam serta penyabar.

Setelah menamatkan ijazah sarjana mudanya di Universiti Azhar, Ustaz Fadzil telah mendaftar untuk melanjutkan pelajaran ijazah sarjana. Ketika itu pemimpin Kedah Datuk Abu Bakar Umar, yang berkunjung ke Mesir mencadangkan kepada beliau agar menangguh pengajian dan pulang ke Kedah kerana PAS Kedah memerlukan pemimpin pelapis dan bakat dan ilmunya ada sudah memadai bagi memimpin PAS Kedah.

Kata isterinya Kak Jah Ibrahim, Ustaz Fadzil menyambut pelawaan Datuk Abu Bakar Umar dan pulang. Tetapi keadaan menyebabkan cadangan untuk bersama memimpin PAS Kedah tertangguh. Beliau tidak segera menjadi pemimpin.

Keadaan menjadikannya seorang pensyarah jurusan Islam di Universiti Teknologi Malaysia yang membawanya jauh dari Kedah.

Sebagai pensyarah universiti banyak pantang larang untuk bergiat dalam politik, apa lagilah dalam PAS yang menjadi penentang utama UMNO. Ruang tidak mengizinkannya untuk bergiat cergas dalam PAS, tetapi ruang yang terbuka dalam dakwah ialah dalam Abim. Di sinilah bakat pimpinannya terselah.

Walau pun tidak menjadi pemimpin utama Abim tetapi beliaulah penasihat utama Anwar Ibrahim yang memimpin Abim yang kepimpinannya terserlah ke seluruh alam.

Dari Abim inilah UMNO menonjolkan bakatnya untuk menjadi pemimpin PAS dari hujung tahun 70an hingga awal tahun 2000. Bukan kerana UMNO sayang kepadanya mahu beliau menjadi parti seterunya, tetapi dera yang UMNO kenakan kepadanya menyebabkan beliau menjadi pemimpin PAS dan menjadi penentang utama politik UMNO.

Banyak pantang larang berpolitik bagi pensyarah. Larangan itu menyebabkan para pensyarah Islam yang memimpin berundur dari pimpinan kerana dikehendaki menumpukan tugas di universiti saja. Pantang larang inilah yang menghalang Ustaz Fadzil untuk bergerak cergas.

Tetapi dalam pilihan raya umum 1978, beliau bertanding sebagai calon PAS bagi kawasan Parlimen Kuala Kedah dan kalah. Tindakannya itu bertentangan dengan kemahuan UMNO. Dengan pengaruh yang ada pada UMNO, UTM memecatnya.

Jika beliau diberi amaran saja, mungkin beliau akan mematuhi larangan berpolitik seperti lain-lain penyarah yang meninggalkan pimpinan PAS untuk memberi penuh masa mengajar universiti. Bukan senang bagi seseorang untuk meninggalkan gaji besar di universiti semata-mata untuk berpolitik yang tiada janji berjaya.

Tetapi UTM memilih untuk memecatnya. Beliau yang biasa bergaji besar tiba-tiba jadi penganggur. Bagi mengisi masa menganggur inilah Ustaz Fadzil diberi sebuah bilik di Pejabat Agung PAS dan menggunakan sepenuh masanya untuk menjelajah seluruh negara berceramah di pentas PAS.

Keperluan hidup Ustaz Fadzil ditanggung oleh kawasan-kawasan PAS yang mengundangnya berceramah dan bantuan rakan-rakannya.

Ketika yang sama beliau memfailkan saman kepada UTM atas pemecatannya. Beberapa tahun kemudian beliau memenangi perbicaraannya dan disambung semula perkhidmatannya. Mahkamah memerintahkan dibayar gajinya selama tempoh penganggurannya.

Ustaz Fadzil yang sudah sekian lama merasa bebas, terasa terikat apabila terpaksa ke kampus semula. Tidak dapat berceramah lagi.

Oleh kerana beliau sudah tahu bagaimana hendak hidup tanpa gaji semasa penganggurannya dulu, maka beliau tidak takut untuk tidak bekerja semula. Beliau berhenti dari universiti untuk bergerak sepenuh masa dalam politik.

Keadaan inilah membuka jalan baginya untuk menjadi pemimpin. Bermula dengan menjadi jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik, beliau menjadi Naib Presiden, Timbalan Presiden dan akhirnya menjadi Presiden dan anggota Majlis Syura Ulama.

Jika beliau tidak dipecat, saya tidak dapat membayangkan beliau akan meninggalkan tugasnya di universiti. Seperti lain-lain pensyarah masa mereka untuk terjun aktif dalam PAS ialah setelah bersara. Orang bersara adalah orang tua yang tenaga pun sudah tidak kuat. Sudah tidak banyak masa dan tenaga yang dapat diberikan kepada PAS.

Kerana Ustaz Fadzil dipecat dalam usia 40an, masih belia yang bertenaga, maka pengalaman itu mengajarnya untuk berdikari, maka beliau memanjat tangga pimpinan PAS dan terbukti beliau muncul sebagai seorang pimpinan gerakan Islam yang disegani olah kawan dan lawan.

Di zaman pimpinannya beliau membuka semula peranan Muslimat untuk menjadi calon. Dan peranan luas yang diisi oleh Muslimat sekarang dimulai di zamannya.

Beliau mengambil masa untuk mengadakan hubungan dengan masyarakat bukan Islam. Tetapi persetujuannya untuk membentuk CCC, kumpulan komuniti Cina untuk bekerjasama dengan PAS dalam tahun 1986, membuka kerjasama PAS dengan masyarakat bukan Islam dan muafakat dengan DAP dan lain-lain badan bukan Islam secara terbuka.

Ia adalah antara peninggalan pimpinannya.

Oleh - Tn Hj Ayahanda Subky Latif

0 comments: