KUALA LUMPUR, 27 Jan: Kisah pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu serta pilihan raya kecil Bagan Pinang menjadi idea terbaru kartunis Zunar untuk terus berkarya. Kali ini beliau datang dengan cerita "Sumpah di Bumi Komisen" dan "Dari PD ke Mongoria". Kedua-duanya terdapat dalam buku komik terbaru beliau, Isu Dalam Kartun (IDK).
Komik "Isu Dalam Kartun (IDK)", sebuah majalah kartun satira yang mengupas isu-isu semasa secara santai bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Majlis pelancarannya akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada Sabtu, 30 Januari jam 5 petang di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela, dekat sini.
Pengarah Urusan dan juga Ketua Pengarang Sepakat Efektif Sdn Bhd, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar berkata, seperti juga "Gedung Kartun" dan "Perak Darul Kartun", IDK sarat dengan karya-karya kartun dengan kritikan pedas terhadap isu seperti kes kehilangan enjit jet, penggunaan perkataan Allah, rasuah,GST, tol dan sebagainya.
Selain itu, dalam keluaran ini, Zunar dan pasukan kartunisnya mempersembahkan dua cerita satira utama iaitu "Sumpah di Bumi Komisen" dan "Dari PD ke Mongoria".
"Sumpah di Bumi Komisen" adalah sebuah cerita fantasi di negeri antah berantah di bawah pemerintahan Datuk Komis dan isterinya Nek Mah. Datuk Komis dikatakan mempunyai hubungan cinta secara sulit dengan seorang gadis yang berasal dari Ular Batok, Antootuya.
"Malangnya Antootuya dibunuh di Puncak Segala Alam. Cerita menjadi gawat apabila negeri itu dilawati hantu jelmaan Antootuya.
"Kartunis Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad) dan Lan (Azlan Isa) berpadu tenaga merealisasikan lukisan cerita yang memenuhi 29 muka surat ini diatas kertas, sementara skrip digarap oleh saya sendiri danRonasina (Apandi Ramli) yang bertindak sebagai Editor,"kata Zunar dalam satu kenyataan.
Manakala "Dari PD ke Mongoria" juga merupakan cerita rekaan mengisahkan bagaimana operasi sulit yang dilakukan oleh pemerintah sebuah negeri, Menteri Kecik untuk menyelamatkan sepasang kekasih yang tertangkap basah di sebuah hotel di selatan tanah air.
Ia dilukis oleh kartunis Oly (Olihairi Othman). Kartunis Enot (Zainal Misran) pula mengemukakan tujuh teori dari perspektif beliau sendiri mengenai kehilangan enjit jet dan pihak yang mencurinya.
Enot juga meneruskan karyanya bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.
Kartunis Haili (Nor Halim) pula mengkritik pihak yang mempertahankan perkataan Allah dan dalam masa yang sama melakukan korupsi serta salah guna kuasa.
Beliau juga mengulas isu isteri pembesar yang membazir jutaan ringgit untuk membeli-belah diluar negara.
Hishamuddin Rais pula meneruskan kisah satira popular "Riwayat Jantan Takubin" sementara Rahmat Haron menyambung nukilan bersiri "Bercakap Dengan Puaka." Pyan Habib menyingkap di sebalik tabir kontroversi majalah Gedung Kartun dalam kolumnya “Racau.” Peguam Puspa Ros memberi informasi kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Zunar juga,IDK adalah sebuah majalah yang mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bernombor pendaftaran (PP16565/12/2010(026185).
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat Anilusca Ideas Enterprise yang telah memberi kebenaran untuk saya menggunakan permit penerbitan mereka," katanya lagi.
IDK mempunyai ketebalan 84 muka surat termasuk kulit dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah. Cetakan pertama adalah sebanyak 15, 000 naskhah dan akan diedarkan ke seluruh negara. |
0 comments:
Post a Comment