Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Sunday, November 15, 2009

Macam ni punya kes pun ada?? isk..isk..isk..

Lelaki mati ditembak - Melayau

ANGGOTA polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis
memeriksa tempat kejadian lelaki mengamuk ditembak polis di Kampung Guar Sanji, Arau, semalam. - BERNAMA

KANGAR 14 Nov. - Mungkin disebabkan terlalu marah kerana masalah tidak selesai dan terpaksa pula berjalan kaki sejauh lebih 60 kilometer dari Alor Setar, Kedah untuk pulang ke rumah di Guar Sanji, Arau selepas ditinggalkan rakan-rakan, seorang pemuda terdorong mahu membelasah dan membunuh semua rakannya itu.

Tetapi malang kemarahan Mohd. Taufiq Norzan, 21, membawa padah apabila dia akhirnya ditembak oleh anggota polis yang gagal untuk memujuk dan mengawalnya supaya bertenang.

Kisahnya bermula apabila rakan- rakannya itu menjemput Mohd. Taufik di rumahnya pada kira-kira pukul 10 malam dipercayai untuk berhibur di Alor Setar dengan menaiki kereta sebelum kemudiannya dia ditinggalkan di bandar itu.

Dia terpaksa pulang berjalan kaki kerana tiada pengangkutan awam selepas pukul 12 tengah malam.

Setibanya di Arau kira-kira pukul 5 pagi, Mohd. Taufiq terus mencari rakan-rakan itu dengan mangsa pertama, seorang kontraktor berusia 23 tahun.

Dia dipercayai dibelasah oleh Mohd. Taufiq dengan besi dan kayu kira- kira pukul 5.30 pagi sehingga cedera di badan, muka dan tangan.

Mangsa menerima beberapa jahitan akibat luka dan dirawat sebagai pesakit luar.

Selepas itu, Mohd. Taufik terus ke Balai Polis Arau mengadu dianiayai rakan-rakannya dan mahu membalas dendam.

Setelah gagal dipujuk bertenang oleh polis, dia pulang ke rumah manakala polis menghubungi bapanya, Norzan Abdul Rahim, 47, kira-kira pukul 6.30 pagi supaya mententeramkan Mohd. Taufiq.

Setibanya di rumah, Mohd. Taufiq mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan daging milik ibunya, Salmiah Ismail, 45, dan terus keluar menuju ke rumah rakannya.

Ketika berjalan kaki ke rumah rakannya, Mohd. Taufiq sekali lagi dipujuk oleh bapanya dan sepasukan anggota polis, tetapi gagal sebelum dia ditembak mati kira-kira pukul 8.15 pagi di kawasan tapak Pasar Sehari Guar Sanji.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis berkata, pihaknya terpaksa menembak Mohd. Taufik demi ketenteraman awam.

"Kira-kira pukul 5.30 pagi pemuda itu mencederakan rakannya, seorang kontraktor berusia 23 tahun. Selepas dicederakan, mangsa membuat aduan di Balai Polis Arau menyatakan dia diancam bunuh oleh penyerang terbabit.

"Pemuda yang menyerang itu juga ke Balai Polis Arau menyatakan dia mahu membunuh seseorang. Pemuda yang mengamuk tadi kemudian pulang ke rumah. Polis mengekorinya sambil memujuk, tetapi tidak diendahkan," ujarnya.

Kata Jamshah lagi, kira-kira pukul 8 pagi, Mohd. Taufik bertindak semakin liar sambil menjerit-jerit, melompat dan mengancam keselamatan penduduk tempatan.

"Setelah keadaan semakin tidak stabil polis melepaskan tembakan amaran ke udara. Namun demikian, pemuda itu didapati semakin hilang kawalan hingga mahu menyerang anggota polis yang memujuknya.

"Ketika pemuda yang bersenjatakan pisau pemotong daging bertindak di luar kewarasan untuk menyerang seorang anggota polis, anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan.

"Selepas ditembak, pemuda itu bertindak lebih agresif. Bagi memudahkan kami mengawalnya, polis terus menggarinya. Setelah dia semakin tenang, pemeriksaan mendapati tembakan yang dituju ke kakinya telah terkena badan," ujarnya.

Mohamad Taufik, seorang peniaga makanan di Arau disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Sementara itu, Norzan berkata, dia akan mengambil tindakan undang- undang terhadap polis yang disifatkan bertindak tidak profesional.

Dia yang berada tidak jauh dari tempat kejadian mendakwa mendengar tiga das tembakan.

"Selepas mendengar tembakan, saya berlari ke arah tempat itu dan mendapati Mohd. Taufiq terbaring akibat tembakan di dada," katanya.

Norzan berkata, isterinya pengsan setelah mengetahui anaknya mati ditembak oleh polis.

0 comments: