DAP bukan parti demokratik
SIBU 13 Mei - Parti  Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya  kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak  dan menantu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, walaupun mereka menuduh Barisan Nasional  (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah  menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu  menjadi pemimpin kanan.
"Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun  belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak  menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.
"Ini  parti berkuku besi, parti BN lebih demokratik daripada DAP," kata Najib  sambil menambah parti itu dengan gabungan rakan-rakan pembangkang akan  terus melakukan pembohongan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
Najib berkata demikian semasa berucap ketika melawat Rumah Panjang  Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai dekat sini hari ini.
Sejak  penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah  dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.
Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula  Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib  Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota  Laksamana di Melaka.
Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind  Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen  Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang  dan ADUN Datuk Keramat.
Perdana Menteri menjelaskan penduduk Sibu tidak harus mendengar  dakyah DAP yang kini membawa pelbagai isu di rumah-rumah panjang di  kawasan Parlimen ini untuk berkempen dalam pilihan raya.
"Dalam  pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan  dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu  yang tiada kaitan dengan kehidupan kita," kata Perdana Menteri.
Sumber: Utusan Malaysia 14/05/10
Ada apa dengan parti  demokratik?
Kenyataan Perdana Menteri Malaysia bahawa sebahagian daripada parti  pembangkang yang menjadikan jawatan-jawatan tinggi parti mereka  dianggotai oleh ahli politik yang mempunyai pertalian kekeluargaan  dengan ahli politik veteran di dalam parti tersebut ada kebenarannya.  Tetapi lupakah Najib, bahawa dia adalah anak kepada Perdana Menteri  Malaysia kedua selepas Tunku Abdul Rahman? Dan lupakah Najib, bahawa  Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn juga merupakan anak kepada  Perdana Menteri Malaysia ketiga dan merupakan sepupu kepadanya?
Kini isu ini dikaitkan pula dengan tolok ukur demokratik atau  tidaknya sesebuah parti politik. Tolok ukur ‘demokratik’ atau tidak  menjadi ukuran dalam menentukan samada sesuatu parti politik itu baik  atau tidak baik, di mana parti yang kurang ‘demokratik’ dianggap kurang  baik berbanding parti yang lebih ‘demokratik’. Hakikatnya, tidak ada  kelebihan kepada parti kerajaan yang lebih ‘demokratik’ berbanding parti  pembangkang yang kurang ‘demokratik’, sebab masing-masing menjadikan  sekularisme sebagai asas. Sistem demokrasi yang terus-menerus  dilaksanakan telah mewujudkan bermacam-macam masalah dan kepelikan di  dalam parti-parti pemerintah dan pembangkang. Lupakah Najib bahawa  sistem ini, sistem yang begitu dibanggakan oleh para pendokongnya, telah  memberikan laluan untuk seorang ahli politik yang bersalah melakukan  hubungan seks luar nikah (yang diberikan jolokan pelakun video lucah)  menjadi Presiden MCA sekarang?
Dan di luar negara pula, seperti di Amerika Syarikat, seorang  pelakon filem lucah seperti Mary Carey masih boleh diberikan laluan  untuk bertanding merebut jawatan Govenor wilayah California bersaing  dengan pelakon Hollywood, Arnold Schwartzenegger! Lebih buruk lagi,  parti-parti demokratik adalah tidak ubah seperti parti Sosialis dan  Fasis, dalam ertikata ia telah banyak melahirkan penjenayah perang  seperti Bush dan Blair serta para pemimpin rejim Israel, yang melakukan  jenayah perang pada skala yang hampir sama seperti yang dilakukan oleh  Stalin, Mao, Hitler dan Saddam. Lebih buruk lagi, para penjenayah perang  ini, yang dilahirkan melalui sistem demokrasi, hanya setakat diberikan  label sebagai penjenayah perang, tetapi tidak ada  mekanisma untuk  menjatuhkan hukuman ke atas mereka.
sumber - jebbat.blogspot

0 comments:
Post a Comment