Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya, melahirkan rasa terkejutnya apabila membaca kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang membuat tuduhan liar ke atas gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Sambil menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai “sangat tidak manis”, beliau menasihatkan Najib supaya beristighfar banyak-banyak.
“Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas perdana menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam, hari ini perdana menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia.
“Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru Umno,” tulis Nik Aziz.
Bukan Islam
Selain  itu, pada ucapannya di Istanbul baru-baru, Najib juga dilaporkan  menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong  keganasan.
Sehubungan itu,Nik  Aziz yang juga menteri besar Kelantan mengingatkan bahawa “tiada Islam  sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang  datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.”Secara  panjang lebar, Nik Aziz kemudiannya menyoal neraca mana nama ganas itu  mahu ditampal dan mempersoalkan sama ada setiap perbuatan menuntut hak  setelah dinafikan itu didakwa sebagai ganas.
“Dalam  Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan  neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi  tempat tumpah darah: Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh  itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan  pernah dipulau selama tiga tahun di Syi'ib Ali. 
Bersedia jadi pengganas!
“Mereka  tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak  berjawab, sapa mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai  tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum menadapat  keizinan daripada Allah SWT.“Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah.
Jelas  Nik Aziz lagi, di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan  mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka. 
“Tiga  belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada  hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas,  apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia? 
“Adakah  Rasulullah SAW dan para sahabat itu ganas? Suka saya nyatakan, jika  Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua muslim seharusnya  bersedia untuk menjadi pengganas!”Menurut  Nik Aziz, Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun  dan bila pilihan raya diadakan pula, diktator itu akan mendapat  kemenangan hampir 99.99 peratus.
“Adakah menjatuhkan  pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat  tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat sedangkan apa yang jelas  berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat.
Palitkan getah kepada Ikhwan
“Tidakkah  Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan  protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir. Muslim,  Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun berdiri satu  barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan,  penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak, jangan pula getahnya  dipalitkan kepada Ikhwan!”Menurut  Nik Aziz, Islam tidak mengajar umatnya untuk melakukan keganasan,  tetapi Islam tidak pula membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan  perlakuan zalim ke atas diri mereka. 
“Peliknya,  ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam  seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula  dilabelkan sebagai ganas.
“Demikianlah juga ketika  Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya  perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan  bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan  ganas. 
Neraca senget“Apabila  rakyat Palestin bertindak walaupun hanya dengan melontar batu, mereka  sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan,”  kata Nik Aziz.
Menurut Nik Aziz, Al-Qaradawi adalah  ulama berjasa yang pernah dipenjarakan ketika perdana menteri Malaysia  hari ini belum lagi lahir ke dunia.
Katanya, beliau  telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu dan  pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia  bahkan kerajaan Malaysia sendiri menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah  kepada beliau.“Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu. 
“Harapan  saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas  perdana menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan  bekas perdana menteri itu,” akhiri tulisan Nik Aziz itu.
 
 






