
 

 

 
Langit petang ini seperti rawan berduka, awan mengarak berita yang 
memeritkan sukma seperti petir membelah langit. Segalanya seperti 
kebetulan mengapa beberapa hari ini saya merasa begitu teringatkan Ustaz
 Yahya Othman terutama janji untuk menyusun kertas kerja tarbiah yang 
puluhan atau ratusan yang ditulis almarhum. Petang menjelang jumaat yang
 berkat ini, saya  bersama Dr Supyan membelek foto-foto lama program 
MISNA yang diadakan pada tahun 1991. ”Wah, Ustaz Yahya masih muda 
bertenaga” kata saya teruja pada teman apabila melihat Ustaz Yahya yang 
kelihatan merenung para peserta program musim sejuk anjuran MISNA. 
Bersebelahnya ialah almarhum Ustaz Fadhil Noor yang juga kelihatan masih
 bertenaga. Berselang sejam lebih selepas itu, teman saya wartawan 
Harakah, Nazri menelepon dengan suara cemas “Ustaz Yahya telah dijemput 
untuk berkelana ke alam abadi”. Airmata terasa deras mengalir kerana 
tokoh murabbi PAS ini  sangat tidak asing dengan program tajnid 
(pembinaan kader-kader dakwah PAS).  Anak muda aktivis gerakan Islam 
negara ini rasanya semua mengenali dengan dekat  sesepuh besi khursani 
tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan pernah diasuh 
secara sistematis  oleh Ikhwanul Muslimin.
Beliau mewakafkan diri untuk perjuangan Islam semenjak zaman muda 
sehinggalah tubuhnya mula disengat penyakit namun masih tidak 
menguzurkan diri di medan amal Islami. Kertas kerja tarbiah Ustaz Yahya 
Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut 
terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik 
kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwanul Muslimin  yang telah 
mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim
 thaghut Mesir. Jika menziarahi bumi Jordan, biasanya Dr Muhammad Said 
Hawwa (anak Sheikh Said Hawwa) akan menjemput beliau di lapangan 
terbang. Beliau mempunyai kenangan kolektif bersama Sheikh Said Hawwa 
dan tokoh-tokoh besar Ikhwan yang terbuang di merata tempat, termasuk 
akrab dengan Dr Kamal Helbawi dan Dr Mehdi Akif.
Ustaz Yahya mendapat pendidikan di Mekah, antara pelajar genius yang 
disayangi oleh guru-guru di Masjidil Haram, beliau menyambung pengajian 
di Iraq seterusnya di Universiti al Azhar sehingga  mendapat MA 
(Sarjana). Beliau sangat menyintai dunia pendidikan, sehingga jasanya 
ada di belakang penubuhan YPTIK, Maahad Tahfiz Pulai Condong, KIAS, 
Kolej An Nur, Maahad Darul Quran Machang dan pelbagai institusi 
pendidikan Islam di Kelantan bahkan negara ini. Akses beliau dengan 
Universiti al Azhar begitu sekali baik, ini adalah kerana latarbelakang 
pendidikan dan jaringan yang dimiliki oleh beliau ketika aktif di dalam 
gerakan belia Islam antarabangsa. Tidak pelik jika apabila PAS memenangi
 Kelantan pada tahun 1990, beliau diamanahkan sebagai exco Pendidikan 
negeri Kelantan. Beliau menjadi ADUN Banggol Judah dan pernah bertanding
 di Parlimen Pasir Puteh pada tahun 1978.
Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah, 
memesrai anak muda supaya menjadi amilin yang menyambung risalah 
perjuangan Islam. Dirinya adalah mercu keteladanan kepada kita kerana 
kata-katanya dibenarkan dengan tindakan dan amalan, beliau bergulat 
dengan perjuangan secara serius semenjak tahun 70an lagi. Beliau pernah 
menjawat jawatan sebagai exco WAMY serta ahli majlis Syura ABIM saat 
ABIM adalah gerakan simbiosis kepada PAS dalam dekad 70an. Almarhum juga
 adalah tokoh ulama PAS Pusat yang juga begitu akrab dengan tokoh-tokoh 
besar Ikhwanul Muslimin. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia 
Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz Yahya Othman 
bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan 
belia Islam. Saat itu, kesan daripada percikan kebangkitan Islam, negara
 dahagakan sentuhan ulama-ulama haraki dan beliau sebaris namanya dengan
 Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Wan Mustapha
 Rusdi, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar dan nama-nama besar lain 
penggerak tarbawi. Tidak menjadi rahsia bahawa kesan daripada tarbiah 
beliau kepada ahli PAS terutama pemuda PAS di penghujung dekad 1970an 
dan awal 80an, akhirnya berlaku transformasi kepimpinan pada tahun 1982 
yang dikenali sebagai kepimpinan ulama.
Almarhum bukan sahaja menjadi tenaga pengisi penting untuk program 
pelajar dan pemuda dalam negara tetapi juga sentiasa diundang ke luar 
negara termasuk di United kingdom dan US. Perawakan lembut tetapi tegas,
 hujjahnya sentiasa disepuh ayat-ayat Allah dan hadith Nabi SAW. 
Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dan meranum hijau 
dengan usrah, tamrin, daurah, jaulah, ijtimak dan sebagainya, semua 
program ini begitu sinonim dengan beliau. Bahkan, PAS berjaya merubah 
kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana 
suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.  Kepimpinan ulama yang menjadi 
teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan 
tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam 
yang begitu membuncah ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam 
yang bergerak di atas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak 
kosong. Almarhum juga di belakang penubuhan ILHAM dan juga 
menggerakkannya.
Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan 
kolektif terhadap jasa dan pengorbanan almarhum, bahkan akan terus 
merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya
 semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi 
Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan utama yang sentiasa 
diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda khususnya. Beliau 
sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun 
tegas. Bersimpuh di hadapan beliau semasa program seolah didera dalam 
penjara Guantanamo atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa 
soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya. Wajahnya sebening air yang membersit 
cahaya tetapi ketegasannya menggerunkan.
“Ayat apa tadi akhi? surah apa ana sebut tadi?” Tanya sang murabbi 
dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid. Tak berkutik, semua 
tunduk seolah tak mendengar soalan ustaz. Dia tak mengalah, terus 
mengasak peserta. Dada bergelombang turun naik, bimbang diterjah soalan 
daripada beliau.
“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, 
peserta  akan menunduk dan menikus  seperti tikus disimbah dengan air 
sirap bandung. Tak berkutik.
“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?”  Tanya sang Murabbi 
dengan tatapan tajam di sebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin,
 sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah ‘kopi janda’.  
Saya juga, walaupun sebagai  panitia program, turut merasa  kecut perut 
seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi atau melintasi 
jirat Cina yang baru menyimpan mayat gadis mati membunuh diri. Semua 
diam, tenang dalam ketakutan yang cukup payah diungkap dengan lukisan 
kata-kata. Hormat dan gerun, sekaligus merasa bersalah kerana tidak 
serius mencatat.
“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang 
peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, bibirnya kelat 
menelan air liur. Lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar 
pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua 
masa depan perjuangan Islam,” kata sang murabbi dengan lirih, mata 
beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat. Di akhir program kami 
saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa 
bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang 
dihidangkan bersama peserta tamrin tanpa omelan. Keakraban beliau dengan
 peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan 
beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.
Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan, meredah kawasan yang
 paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, 
Ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi 
akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin. Sesibuk manapun beliau 
semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah 
keutamaan. Selepas melepaskan jawatan Eksekutif dalam kerajaan negeri, 
belia masih di papan carta utama program tarbiah termasuk penglibatannya
 dalam Lujnah Tarbiah Pusat dan murabbi tarbiah jamaah.
“Mula pukul berapa akhi program ni…” Tanya almarhum Ustaz Yahya pada 
saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz 
tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang 
gagal untuk mendisiplinkan peserta. Apa pun teguran yang diberi, saya 
dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi
 sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan, terakam indah dalam 
lipatan ingatan kolektif kita semua.
Dalam program Ijtimak Tarbawi yang berlangsung di Masjid Rusila dua 
tahun lepas, ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak 
mengenali sosok ini namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang 
sangat mengesankan. Kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti 
air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam 
kolam yang teguh. Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, 
menyihir anak-anak muda yang tekun mendengar. Suaranya bergetar sayu 
sebelum berpamitan dengan peserta, matanya melihat dengan penuh bahagia 
kepada seluruh peserta Ijtimak Tarbawi.
“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau 
sesibuk mana pun kamu” ujarnya tegas, matanya berkaca menatap peserta. 
Dia seperti disihir untuk tidak meninggalkan majlis yang baginya 
menghimpunkan anak-anak didiknya dari seluruh negara. Usai beliau 
memberi pengisian, tubuhnya yang uzur masih melekat di kerusi khas di 
belakang pentas. Matanya memerhati dengan penuh teruja ke arah anak muda
 yang jumlahnya ribuan orang dan dia dengan tekun menangkap butiran yang
 disampaikan oleh penceramah-penceramah lain. Dalam keadaan uzur serta 
jauh lebih berilmu dan berpengalaman, beliau masih mendengar dan 
ditarbiah. Inilah watak keikhlasan sang murabbi yang sukar dicari ganti 
pada hari ini.
“Nama apa ustazah yang bercakap tu?” Tanya ustaz Yahya perlahan, cuba
 mengingat sesuatu. “Oohh, Dr Asiah Ali…Pengerusi tarbiah Muslimat” 
jawab saya. Ustaz tekun menangkap butiran yang keluar daripada mulut 
penceramah. Ustaz Asri Daud, sekali sekala melayan pertanyaan Ustaz 
Yahya, yang tergambar sangat bahagia pada hari itu. Sesekali dia 
membetulkan duduknya pada kerusi khas yang kami sediakan.
Sukarnya untuk melupakan jasa  Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan
 Islam, juga kepada kita semua di dalam harakatul ummah ini. Hari ini 
dan seterusnya kita akan merindui sang murabbi ini, suara lirihnya juga 
tatapan mata bahagia dalam program tarbiah. Nuansa sentiasa  untuk 
mengukuhkan jamaah yang kita cintai, kerana kita dan almarhum menjiwai 
setulusnya bahawa tarbiah adalah tunjang kekuatan perjuangan. Gagah dan 
konsistennya harakatul ummah pada hari ini ialah kerana tarbiah yang 
berterusan untuk para pendokongnya. Kita ahli-ahli PAS  tidak akan 
menjadi pahlawan kesiangan yang sarat dengan mimpi-mimpi indah untuk 
merengkuh Putrajaya namun mengambil mudah dan culas dengan program 
tarbiah.
Selamat  berehat buat sang Murabbi, demi Tuhan, kami adalah saksi 
mata bagaimana gigihnya dirimu membina dan mengisi dada kami. Bergerak 
menyambangi seluruh belahan negara ini untuk berdakwah dan membina para 
duat dan amilin. Kami berjanji untuk meneruskan jalan dakwah ini dan 
memastikan harakatul ummah ini terus berada di orbit perjuangan Islam 
walaupun kami tahu betapa rindunya kami pada sebuah kerusi kosong di 
medan tarbawi yang biasanya, menyandar tubuh kurus namun sarat dengan 
kata-kata inspiratif yang meluncur daripada sumur akalmu yang jernih. 
Alfatihah.
Penulis adalah Ketua Penerangan dan dakwah DPP Malaysia dan mantan Ketua Pemuda PAS WP.