

Ntah mengapa, tiba-tiba dilanda angin 'cintakan sejarah' pulak malam ni.. walaupun teman dulu masa SPM sejarah dapat 8 !! hhuhuhu
mari sama-sama kita telusuri sedikit ringkasan sejarah Parti Islam ini..
sunsnake 24052010
SEJARAH PARTI ISLAM  SEMALAYSIA (PAS)     Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah  meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh  rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS  telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap  ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam  melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990,  kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat  kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS  telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25  peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini  meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga  penyelidik.  
 Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula  semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala  Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan  Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi  Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang  Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para  ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan  politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan  PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun  ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan  raya 1955.  
 Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku  antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun  di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan.  Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui  para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran  yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan  atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan  terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika  itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi  Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948  kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar  al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung  Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun  1948.  
 Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada  yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran  rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang  lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis  Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh  Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan  Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada  1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian  ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan  ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum  Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan  kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana  tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan  sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi  loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak  yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang  Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi  loteri anjuran Umno.  
 Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi  politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para  ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi,  seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang  dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi  menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951.  Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam  yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah  membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak  bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan  manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.  
 Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang  memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi  pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan  mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan  orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji  Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan  yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang  merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara  yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih  kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya  terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’  dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1.  Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,  
 ”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan  terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara  Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha  suci”2.  
 Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar  apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan  yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak  Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah  sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan  ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun  begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961  hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya  bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam  konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan  oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.  
 Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima  tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr  Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda  Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS  untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah  dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS  menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang  lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama  Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada  beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura  antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969  yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd  Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965  telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.  
 PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka  kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara,  mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan.  PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran  PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional  (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan  PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga  membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih  berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan  politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan  melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan  pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977  yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut  kehilangan Kelantan.  
 Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS  terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan,  tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan  kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah  diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang  meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS  kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan  memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS  berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam  masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim  sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain,  pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk  tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar  Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam  Antarabangsa dan lain-lain.  
 Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri  penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang  dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984.  Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang  mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi  krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua  Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan  mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang  membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS  (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat  diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.  Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan  tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang  kuasana.  
 Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46)  yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989  berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan  ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya  gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat  Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian  menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya  merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru  Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu  sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum  Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga  kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS  dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu  Islam.  
 Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang  Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan  (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin  al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof  Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan  Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang  menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat  jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956),  kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan  (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3.  Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap  perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan  (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan  tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut  pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu  fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan  ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.   
 1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm.  Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali  Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian  Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian  Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di  Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search  for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.  
sumber -
website rasmi PAS