Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Wednesday, November 4, 2009

Bagus! Mulakan dengan Perdana Menteri Malaysia ke-6!

Pegawai Salah Laku, Seleweng Wang Awam Akan Dikenakan Tindakan - KSN

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pegawai awam yang secara terang melakukan kesalahan dalam pengurusan wang awam sepertimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008 akan dikenakan hukuman, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Mohd Sidek, yang mempengerusikan pasukan petugas bagi menentukan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas pihak-pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam, berkata terdapat empat jenis tindakan yang boleh diambil dalam kes salah laku/penyelewengan dalam pengurusan wang awam iaitu:

* surcaj di bawah Akta Acara Kewangan 1957;

* tindakan tatatertib di bawah Perintah-perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Pegawai awam yang telah bersara tidak boleh dikenakan tindakan disiplin atau surcaj. Namun mereka boleh dikenakan tindakan sivil atau jenayah;

* pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan ke atas kes-kes salah laku seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu supaya tindakan undang-undang seterusnya boleh diambil. Sehubungan ini pihak PDRM akan turut menganggotai pasukan petugas; dan

* tindakan sivil di mahkamah jika terdapat cukup bukti.

Ketua Setiausaha Negara berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu berikutan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008 yang dipengerusikannya Isnin lepas (2 Nov 2009).

Mesyuarat dihadiri Peguam Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Mohd Sidek berkata mesyuarat itu antara lain bersetuju bahawa tindakan yang akan diambil akan berasaskan kepada fakta-fakta yang jelas dan akan turut mengambil kira peringatan Perdana Menteri iaitu tindakan tidak sepatutnya dikenakan dalam kes di mana seseorang pegawai membuat sesuatu keputusan dengan niat yang jujur, kesalahan-kesalahan yang tidak disengajakan atau berpunca daripada faktor-faktor di luar kawalannya.

"Prinsip asas yang akan diutamakan oleh pasukan petugas dalam mengambil tindakan ialah memastikan ia mampu menerapkan budaya tadbir urus yang baik dalam Perkhidmatan Awam sekali gus menjurus kepada prinsip budaya prestasi tinggi," katanya.

Mohd Sidek berkata pasukan petugas akan meneliti kes-kes secara berperingkat dengan mendahulukan kes-kes yang banyak berlaku dan tidak mematuhi Arahan Perbendaharaan dan pekeliling-pekeliling Perbendaharaan seperti pembayaran telah dibuat tetapi barang tidak diterima, perkhidmatan tidak dilaksanakan dan perolehan barangan atau perkhidmatan tidak mengikut spesifikasi.

"Bagi kes-kes sebegini tindakan surcaj di bawah Akta Acara Kewangan 1957 dan tindakan tatatertib di bawah Perintah Am Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 boleh diambil terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Mohd Sidek berkata tindakan ke atas kes-kes salah laku akan diambil secara berperingkat, iaitu sebaik sahaja siasatan ke atas satu-satu kes itu selesai.

Beliau juga berkata dalam menjalankan tugasnya pasukan petugas akan memberi fokus kepada prinsip asas iaitu tadbir urus pengurusan kewangan awam yang baik.

"Anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang diberi tanggungjawab perlu mengamalkan budaya prestasi tinggi. Untuk ini mereka yang berprestasi cemerlang akan diberi ganjaran sewajarnya tetapi kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa, mediokrasi, kecuaian, pelanggaran peraturan dan prosedur pengurusan wang awam yang disengajakan sepertimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008," katanya.

Mohd Sidek juga berkata pasukan petugas itu, yang penubuhannya diumumkan oleh Perdana Menteri pada 30 Okt lepas, akan bermesyuarat pada setiap minggu dan merancang untuk menyelesaikan tugasnya selewat-lewatnya pada bulan April 2010.

0 comments: