
Teman baru-baru ini dirapati oleh seorang anak buah di tempat kerja..
Dah banyak hari dia minta bertemu 4 mata dengan teman..
dek kerana kesibukan kerja dan perjuangan.. tertangguh-tangguh jee..
Hari tu dapat juga teman berbual dengannya.. itupun hamba Allah tu terpaksa tunggu teman di parking tempat keje..
Soalannya ialah:
Seorang kawan dia ni dah berzina dengan aweknye.. dan awek dia dah mengandung..
Bolehkah dia mengahwini aweknya tadi dan mem'bin/binti' kan anak tadi kepada nama dia?
Adusss!!! Inilah persoalan yang banyak ditanya sebenarnya dan selalunya untuk menutup malu, anak ini tadi akan dibinkan kepada bapa 'zina'nya tadi!!!
Disini teman sertakan persoalan dan jawapannya..
Moga jadi panduan buat semua.. inilah juga jawapan yang teman berikan kepada sahabat tadi..
sunsnake 20052010
MENGAHWINI WANITA HAMIL
Soalan: Apa hukum mengahwini wanita yang hamil kerana  terlanjur berzina?
Jawapan;
Assalamu  ‘Alaikum,
Al-Hamdulillah, Wassalatu ‘ala Rasulillah wa ala alihi  wasahbihi,
Telah disepakati oleh para ulamak bahawa harus seorang  lelaki mengahwini wanita yang dizinainya. Ibnu ‘Abbas r.a. pernah  ditanya berkenaan seorang pemuda yang berzina, kemudian ia bertaubat dan  ingin mengahwini wanita yang dizinainya sebagai jalan menutup keaiban  wanita tersebut, maka beliau menjawab;
أَوَّلُهُ سِفَاحٌ،  وَآخِرُهُ نِكَاحٌ، وَالْحَرَامُ لاَ يُحَرِّمُ الْحَلاَلَ
“Diawal  adalah sifah (zina) dan diakhirnya adalah nikah. Yang haram tidak  mengharamkan yang halal”.
Jika lahir anak selepas enam bulan dari  tarikh berlakunya akad perkahwinan, maka nasab anak itu sabit  kepadanya. Namun jika lahir kurang dari enam bulan, maka nasab tidak  sabit kepadanya.
Namun jika wanita yang dizinai diketahui telah  hamil, bagi masalah ini terdapat dua pandangan ulamak;
Pandangan  pertama; iaitu pandangan Imam Syafi’ie dan juga Imam Abu Hanifah; wanita  yang hamil kerana berzina harus dikahwini sama ada oleh lelaki yang  berzina dengannya atau dengan lelaki lain, namun tidak harus  mensetubuhinya hinggalah ia melahirkan anak yang dikandungnya mengikut  pandangan Imam Abu Hanifah. Menurut Imam Syafi’ie; makruh mensetubuhinya  dalam keadaan hamilnya itu. Bagi pandangan ini, tidak ada kehormatan  bagi zina untuk mewajibkan iddah ke atas wanita yang berzina. Oleh  demikian, harus ia dikahwini pada bila-bila masa sama ada oleh lelaki  yang berzina dengannya atau lelaki lain sekalipun ia sedang hamil. Cuma  jika ia sedang hamil diharamkan mensetubuhinya (mengikut mazhab hanafi)  atau dimakruhkan (menurut mazhab Syafi’ie) sehinggalah ia melahirkan  anak. Selain itu –menurut pandangan ini juga- jika wanita yang berzina  itu mempunyai suami harus suaminya mensetubuhinya tanpa perlu menunggu  tempoh iddah tertentu sebagaimana pandangan kedua nanti.
Pandangan  kedua; wanita yang hamil kerana berzina tidak harus dinikahi  sehinggalah ia melahirkan anaknya. Pandangan ini merupakan pendapat Imam  Rabi’ah, as-Tsauri, al-Auza’ie dan Ishaq dan ia merupakan pegangan  mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Ahmad.[1] Ini kerana menurut mereka, wanita yang  melakukan persetubuhan zina wajib ke atasnya beriddah selama tiga kali  haid atau tiga bulan (mengikut pendapat Imam Malik) atau dengan  melahirkan anak jika ia hamil. Jika wanita yang berzina itu mempunyai  suami, haram ke atas suaminya mensetubuhinya hinggalah tamat iddahnya  itu. Kesimpulannya; mengikut pandangan ini, wanita yang berzina tidak  harus dikahwini kecuali setelah tamat iddahnya iaitu tiga kali suci atau  tiga bulan. Jika ia hamil tidak harus dikahwini kecuali setelah  melahirkan anak. Di samping itu mereka menambah satu lagi syarat iaitu  hendaklah wanita itu telah bertaubat dari zina.
Wallahu A’lam.
[1] Pandangan ini juga dipilih oleh Imam Abu Yusuf dan  Zufar dari mazhab Hanafi. Dalam masalah ini mereka berbeza pandangan  dengan Imam mereka iaitu Imam Abu Hanifah yang akan kita huraikan nanti  pandangannya. (Lihat; Ahkam al-Marah al-Hamil, Yahya Abd. Rahman  al-Khatib, hlm. 75).
0 comments:
Post a Comment