Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Friday, May 21, 2010

Apabila Lanun membuat sedekah jariah...


Prolintas tawar tol percuma 2 bulan

SHAH ALAM 18 Mei - Pembukaan Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) bukan sahaja menggembirakan penduduk di sini malah syarikat pengendalinya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., (Prolintas) bermurah hati tidak mengenakan tol untuk tempoh dua bulan bermula hari ini. Tempoh tol percuma itu merupakan paling panjang pernah ditawarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya kerana lazimnya pengguna hanya diberi tempoh sebulan untuk melalui lebuh raya yang baru secara percuma, sebelum tol dikenakan mengikut jenis kenderaan dan jarak perjalanan.

Kemudahan untuk pengguna itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor selepas merasmikan LKSA di Plaza Tol Alam Impian di sini hari ini. Shaziman berkata, pembinaan lebuh raya sepanjang 14.7 kilometer itu ternyata memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna yang berulang alik dari Pelabuhan Klang, bandar Klang, Shah Alam, Kemuning dan Subang Jaya dalam urusan seharian.

Malah tempoh perjalanan juga, tambahnya, dari Lebuhraya Persekutuan ke Lebuhraya Shah Alam sebelum ini antara 30 minit hingga 45 minit dapat dipendekkan kepada 10 minit sahaja melalui LKSA. ''Faktor ini sudah tentu memberikan kelegaan kepada pengguna kerana bukan sahaja masa perjalanan dapat disingkat malah penggunaan petrol atau diesel serta kos penyenggaraan kenderaan juga dikurangkan. ''Saya difahamkan bayaran tol yang akan diumum selepas ini lebih murah berbanding kadar yang dikenakan oleh Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut. Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Prolintas, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar. Hamad Kama pula dalam ucapannya berkata, majlis perasmian hari ini menjadi kebanggaan kepada Prolintas kerana ia bukan sahaja telah siap dibina tetapi LKSA dibuka kepada pengguna dua setengah bulan lebih awal daripada jangkaan asal. Katanya, projek bernilai RM750 juta itu mula dibina pada Ogos 2007 dan kini ia menghubungkan Lebuh Raya Persekutuan dan Kesas serta mempunyai enam persimpangan bertingkat dengan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Sri Muda dan Plaza Tol Alam Impian. ''Bagi keselesaan dan kemudahan orang ramai, enam akses laluan meliputi Persimpangan Kota Kemuning, Persimpangan Jalan Bukit Kemuning, Persimpangan Alam Impian, Persimpangan Bulatan Jubli Perak, Persimpangan Bulatan Selangor dan Persimpangan Lebuh Raya Persekutuan disediakan di sepanjang LKSA. ''Selain itu lebuh raya ini dilengkapi dengan teknologi terkini merangkumi sistem telefon kecemasan, sistem pengesan kenderaan, paparan mesej dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya. Hamad Kama berkata, LKSA juga menyediakan perkhidmatan rondaan trafik selama 24 jam dan semua lorong tol dilengkapi sistem kutipan elektronik untuk kad Touch & Go. Tambahnya, pada peringkat permulaan sebanyak 25,000 kenderaan dijangka menggunakan LKSA setiap hari dan jumlah itu akan terus bertambah selari dengan kemajuan pesat di kawasan Shah Alam dan Klang.

Sumber: Utusan Malaysia 19/05/10

Perompak Hanya Beri Tol Percuma Selama 2 Bulan Sahaja?

Nampaknya kerajaan sekular Kapitalisme bermurah hati kepada rakyatnya hanya selama 2 bulan sahaja. Selepas dari itu sekumpulan perompak berlesen ini akan diberikan lampu hijau oleh pihak kerajaan untuk merompak wang rakyat tanpa mengira waktu, masa dan lebih teruk lagi tanpa mengira apakah rakyat itu miskin ataupun kaya. Begitu kejam dan ganas perompak di zaman pengswastaan ini. Apa lagi deskripsi yang lebih tepat kecuali menggelarkan kerajaan hari ini sebagai kerajaan yang merompak rakyatnya sendiri? Dalam dunia Kapitalisme keuntungan dan manfaat adalah piawai bagi setiap tindakan. Pihak kerajaan akan melakukan dan melaksanakan setiap tindakan itu jika ianya menguntungkan mereka!!

Wahai umat Islam! Inilah dasar Kapitalisme. Asas yang melahirkan tindakan ini adalah sekularisme - pemisahan agama dari kehidupan. Justeru itu sewajarnya umat Islam sedar bahawa mereka wajib mengubah keadaan ini dengan memperjuangkan Islam agar dapat diterapkan secara syumul atas kehidupan individu, masyarakat dan negara. Selagi sistem sekular Kapitalisme ini masih diterapkan maka selama itulah rakyat akan terus ditindas. Hanya segelintir golongan sahaja yang akan merasa manis ‘gula’ Kapitalisme ini. Majoriti rakyat akan hanya merasa kepahitannya. Penderitaan, kesempitan dan bebanan kehidupan adalah lumrah dalam sistem kehidupan Kapitalisme. Inilah fakta dan realiti kesan dari penerapan sistem Kapitalisme. Oleh itu, sewajarnya seorang muslim itu bangkit untuk mengubah sistem kehidupan kufur ini dengan bergerak mengembalikan kehidupan Islam. Sudah saatnya Islam itu memimpin kehidupan manusia.

sumber - jebbat.blogspot

0 comments: