|  Selepas gagal dalam misi mereka untuk memecah-belahkan  Kelantan, UMNO kini bertukar strategi menyerang negeri Pulau Pinang yang  dikuasai oleh DAP. Gimik terbaru mereka ialah menuduh kerajaan Pulau  Pinang memansuhkan perarakan Maulidur Rasul dengan hanya merujuk kepada  berita yang dilaporkan oleh Utusan Meloya. Berdasarkan berita yang  dilaporkan oleh Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri dan pakar  tidur negara, Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi yang tetiba  bangun daripada tidur untuk turut sama-sama membidas kononnya tindakan  kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membatalkan perarakan Maulidur Rasul atas  nama agama dan menjaga keharmonian kaum.
 
 Memandangkan isu agama  merupakan isu yang sensitif sebagaimana isu nama kalimah ALLAH, Ketua  Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengambil peluang untuk menajamkan  serangan terhadap kerajaan pimpinan Guan Eng dengan memaparkan salah  satu surat yang diedarkan, membawa kepala surat kerajan negeri, menyebut  kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan perarakan tersebut.
 
 Akan  tetapi, perkara itu dijawab dengan rapi oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal  Ehwal Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim yang berkata  surat-surat berkenaan hanyalah opsyen untuk mengubah format sambutan  selama tiga mulai 25 Feb ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pulau  Pinang tidak pernah berhasrat untuk membatalkan perarakan sempena  Maulidur Rasul tahun ini sambil menegaskan, surat yang disebarkan  menerusi internet hanya opsyen yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai  kerajaan.
 
 Sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang  mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan  umat Islam, sebagai satu pembohongan; Lim Guan Eng turut menjemput Tan  Sri Muhyddin Yassin dan Tun Abdullah untuk turut serta mengambil  bahagian dalam sambutan tiga hari Maulidur Rasul akhir bulan ini. Selain  itu, beliau juga mengambil kesempatan dalam menasihatkan Timbalan  Perdana Menteri supaya tidak mempercayai sepenuhnya maklumat-maklumat  Utusan Malaysia -  “Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu  Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu.  Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus  bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan.  Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu  pembohongan.”
 
 Dalam serangan bertubi-tubi UMNO dalam isu Maulidur  Rasul terhadap kerajaan Pulau Pinang, PAS sebagai rakan karib DAP di  dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang strategi dalam membela DAP dan  membongkar kepalsuan niat UMNO dalam menjaga agama Islam. PAS menyedari  tindakan UMNO menyerang DAP dalam soal agama Islam hanyalah bertujuan  bermain politik semata-mata untuk meningkatkan tahap kebencian orang  Melayu terhadap DAP yang sering dilabelkan mereka sebagai parti komunis  Cina.
 
 Pembelaan pertama PAS datang daripada Naib Presiden PAS,  Dato Mahfuz Omar yang dipetik berkata, “Bagi saya berarak maulud tak  salah tak belarak tidak lah berdosa. Untuk apa kalau berarak membawa  pada dosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat keatas Nabi kemudian  tolak apa yang Nabi suruh.” Beliau turut berkata pihaknya menganggap  serangan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya terhadap Ketua  Menteri Lim Guan Eng seolah-olah “dijadikan modal politik murahan” untuk  menjatuhkan Pakatan Rakyat.
 
 Mahfuz juga mempertahankan Ketua  Menteri dengan menegaskan bahawa syor awal dibuat oleh jawatankuasa  induk, perarakan akan dibatalkan, yang pastinya bukan dipengerusikan  oleh Lim. “Jadi tidak wajar Lim dituduh sebagai anti-Islam... lagi pun  keputusan awal sebenarnya hanya merupakan syor, bukan keputusan  muktamad,” katanya. Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam dan rakyat  Malaysia supaya menjauhkan dari bahaya Umno dan Barisan Nasional demi  keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara.
 
 Sokongan kedua PAS  datangnya dari Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul  Rahman turut serta membela Guan Eng dalam isu Maulidur Rasul dengan  menyatakan bahawa UMNO cetek pengetahuan agamanya apabila hanya asyik  membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan sejarah Maulidur Rasul  itu sendiri. Beliau menambah bahawa Nabi sendiri tidak pernah menuntut  umatnya membuat perarakan. “Tidak tahulah saya takut-takut Umno sengaja  hendak mempolitikkan perkara itu setelah mendapati Lim cuba membatalkan  upacara yang dianggap telah menjadi amalan tradisi di kalangan  sesetengah masyarakat Islam,” katanya.
 
 Demi membongkar kepalsuan  UMNO dalam soal menjaga nama Islam, kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Aziz,  Kelantan yang juga dikenali sebagai serambi Mekah, mengisytiharkan  perarakan Maulidur Rasul tahun ini tidak ada tahun ini, sebaliknya  kerajaan negeri adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV dan  disusuli dengan sembahyang khas pada 25 Feb. “Kami tidak menganjurkan  perarakan sebagaimana amalan sebelum ini. Tetapi sudah tentu perarakan  diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri, yang dianjurkan oleh orang  ramai untuk melahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad,” kata  Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.
 
 Dalam  kenyataannya, Timbalan Menteri Besar Kelantan menambah, “Perarakan itu  bukan satu kemestian. Dan, ia juga tidak diamalkan ketika zaman Nabi.  Umat Islam boleh memilih untuk mengadakan ataupun tidak. Tetapi apa yang  penting ialah mereka berpegang teguh pada ajaran yang dibawa Nabi  Muhammad.”
 
 Selain dapat mematahkan serangan bertubi-tubi UMNO  terhadap kerajaan Pulau Pinang, tindakan kerajaan Kelantan ini secara  terang-terangan ingin membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO langsung  tiada niat untuk membela agama Islam – segala-gala rintihan dan polemik  atas isu perarakan Maulidur Rasul hanyalah bermotifkan politik  semata-mata untuk mengkucar-kacirkan negeri-negeri di bawah pemerintahan  Pakatan Rakyat.
 
 Semangat kekitaan dan persahabatan tulen Pakatan  Rakyat yang dipamerkan PAS dalam hal membela DAP daripada serangan  politik murahan UMNO dalam isu perarakan Maulidur Rasul amatlah dikagumi  and sepatutnya dihayati bersama oleh semua para penyandang jawatan  politik Pakatan Rakyat.
 
 Inilah semangat tulen konsep Pakatan  Rakyat yang harus ada pada setiap parti komponen Pakatan dalam misinya  mengembalikan konsep ketuanan rakyat kepada Malaysia dengan menumbangkan  kerajaan UMNO Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 13 nanti. Jika PAS,  DAP dan PKR dapat menghayati dan mempraktikkan semangat tulen konsep  Pakatan Rakyat ini sepanjang waktu, yakinlah bahawa inilah formula yang  akan membawa Pakatan Rakyat melangkah jauh ke dalam kubu kuat Barisan  Nasional dalam pilihanraya yang akan datang.
 
 Ingat, bersatu kita  teguh, bercerai kita roboh!
 
 ----------------------------------
 Li  Fook Gao @ Tohkong Mosjid mengharapkan Tahun Harimau ini menjadi tahun  perkahwinan Pakatan Rakyat…. janganlah “bersekedudukan” lagi……
 sumber - harakahdaily
 | 
0 comments:
Post a Comment