Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Wednesday, March 10, 2010

BURULAH RAHMAT ALLAH, JANGAN KEJAR FADHILAT IBADAH

Kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar dunia, untuk mendapatkan harta benda, kekayaan, glamour, nama dan pujian, pangkat, gelaran, darjah kebesaran, kuasa, perempuan dan sebagainya tanpa mempedulikan nasib mereka di Akhirat, maka jelas mereka itu rugi dan tertipu.

Namun begitu kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar Akhirat iaitu untuk mendapatkan Syurga, dengan melakukan berbagai-bagai ibadah sebanyak-banyaknya dan dengan mencari dan mengejar fadhilat, dengan tujuan untuk mengumpulkan sebanyak-banyak pahala maka dikhuatiri mereka juga rugi dan tertipu.

Tetapi, kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus hanya kerana Allah, kerana merasakan dirinya seorang hamba dan sudah menjadi kewajipannya untuk taat dan berbakti kepada Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdi diri kepada Allah, untuk menagih simpati, belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, untuk mendapat keredhaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang terpahat di hatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.

Justeru itu, kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah satu penipuan yang amat nyata. Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada Akhirat yakni semata-mata untuk mendapat Syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu penipuan yang akan merugikan kita.

Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita untuk mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul.

Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang ada di dalam hatinya, iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya. Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Kepada rasa takut, cinta, gerun, hebat, tawakal, pergantungan, harapan dan penyerahannya kepada Tuhan. Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah,malu dan sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang hamba itu maka lagi kuat dan tekunlah dia beribadah, lebih kemaslah syariat dan lebih mulialah akhlaknya.

Memang Allah ada menjanjikan Syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Tapi itu hak Tuhan untuk memberi,bukan hak manusia untuk menuntutnya. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadah. Jangankan Syurga, nikmat sebelah mata pun tidak dapat dibayar dengan ibadah seumur hidup. Belum mata yang sebelah lagi, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu. Belum lagi makanan yang dimakan, air yang diminum dan oksigen yang dihirup sepanjang hidup. Belum lagi segala anggota tubuh dan organ di dalam badan. Belum lagi nikmat akal yang berfikir dan hati yang merasa. Dan belum lagi nyawa dan roh yang dengannyalah kita dapat mengetahui dan merasakan hakikat kewujudan ini. Tidak ada manusia yang masuk ke Syurga kerana amal ibadahnya. Tidak juga para nabi dan para rasul. Tidak juga Rasulullah SAW. Baginda sendiri masuk ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah.

 

Kalau rahmat Allahlah yang menjadi sebab seseorang hamba itu masuk ke Syurga maka orang yang mahukan Syurga sepatutnya memburu rahmat Allah ini dan bukan fadhilat-fadhilat, kelebihan amalan ataupun pahala. Fadhilat, kelebihan amalan dan pahala tidak akan mendatangkan rahmat Tuhan. Allah memberi rahmat-Nya hanya kepada hamba-hamba yang dikasihi dan dicintai-Nya. Oleh itu cinta dan kasih sayang Tuhanlah yang patut dicari dan diusahakan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri, mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun,hebat dan rindu kepada Tuhan, menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan diri keseluruhannya kepada Tuhan.

Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dan pemberian dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita. Adalah lebih baik kita menagih cinta dan kasih sayang Tuhan walaupun tanpa hadiah dan pemberian. Kalau Allah sudah sayang dan cinta kepada kita, bukankah itu seperti telah mendapat segala-galanya. Apalah nikmat yang ada pada hadiah dan pemberian Tuhan berbanding nikmat mendapat kasih sayang Tuhan itu sendiri. Nikmat kasih sayang Tuhan lebih besar dan lebih agung. Betapa hebat pun nikmat Syurga di Akhirat nanti, semua itu kecil berbanding nikmat dapat melihat wajah Tuhan. Kalau melihat wajah Tuhan pun sudah mengalahkan nikmat Syurga, apatah lagi nikmat mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan.

Memang di dalam ibadah ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihannya. Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah kerana kasih dan sayang-Nya. Janganlah pula itu kita jadikan matlamat ibadah kita. Seperti juga Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan beramal soleh. Tapi janganlah pula Syurga itu kita jadikan matlamat ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai hamba-hamba-Nya.

Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita seperti kanakkanak yang melompat, melonjak dan bersorak-sorai kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

 

Sumber - Rufaqa

 

 

 

PAS & UMNO Bersatu? Teman Sokong!


Lagi sekali Muhyiddin membuat kenyataan yang seolah-olah mengajak PAS dan UMNO bersatu..
Dan sekali lagi 'sinar' keikhlasan seolah-olah terpancar dibait-bait tutur katanya..

Dan sekali lagi jugak teman nak ingatkan betapa Tuan Guru Nik Aziz sendiri selaku Mursyidul Am PAS dah berpuluh tahun mengajak UMNO dan PAS bersatu dengan cara UMNO WAJIB menukar perlembagaan partinya kepada Al-Quran,Hadis, Qias dan Ijma' Ulama'.

Sekiranya UMNO sanggup berbuat begitu, PAS akan dibubarkan dan semua ahli PAS teman yakin dengan rela dan bersemangat akan isi borang keahlian UMNO!

Persoalannya.. mahukah UMNO?
Nak bersatu ye? Bagi balik Royalti minya hak rakyat Kelantan dulu wehhh!

Bagaimana PAS mahu bersatu dengan UMNO atas dasar Islam jika UMNO sendiri seolah-olah terkeliru dengan Islam? Buktinya? Anak Muhyiddin ni pun dah jadi artis!!!
Kalau artis nasyid tu lain la kira.. ini?? Teman yakin sahabat-sahabat semua pun boleh nilai..
sunsnake 10032010

Perjuangan isu Natrah perlu dicontohi

KUALA LUMPUR 9 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya persefahaman dan perpaduan politik yang ditunjukkan parti-parti yang mewakili umat Islam dalam memperjuangkan isu Natrah pada 1950 dijadikan contoh pada masa sekarang ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perpaduan politik seperti itu adalah amat penting bagi mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam daripada dipandang rendah oleh mana-mana pihak.

‘‘Dalam hal persefahaman politik, kisah Natrah membuktikan bahawa umat Islam daripada latar ideologi politik yang berbeza mampu untuk bersatu dalam mempertahankan kesucian Islam.

‘‘Tokoh-tokoh seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Tun Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tun Hussein Onn telah mengetepikan perbezaan ideologi politik masing-masing demi membela kesucian Islam yang dipandang rendah oleh penjajah.

berita penuh

Gaji RM600?? Baru tahu ke @ baru nak bagitahu..


Alhamdulillah..
Akhirnya ada jugak yang bersimpati dengan nasib rakyat Malaysia yang bekerja swasta..
Ada beribu lagi jenis-jenis pekerja swasta yang sangat-sangat memerlukan pembelaan didalam suasana Malaysia yang semakin baik ekonominya bak kata Perdana Menteri kita!

Dengan gaji RM600 sebulan, tolak campur kos hidup yang mahal giler ditambah la sikit-sikit dengan elaun dan bayaran Overtime.. Sebenarnya masih lagi dibawah paras Miskin tegar!
Di Shah Alam pulak tuh!

Moga ada sesuatu yang Kerajaan Malaysia sudi buat untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang bekerja swasta ni..

InsyaAllah...

sunsnake 10032010

Lebih 2,000 pkerja di Proton terima gaji asas RM600 sebulan: MTUC

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa lebih 2,000 pekerja am tempatan di Proton masih menerima gaji asas RM600 sebulan.

Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran, berkata golongan pekerja terbabit yang bekerja di bahagian pemasangan kenderaan menerima gaji itu sejak 2007.

Katanya, MTUC akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat bagi meminta beliau campur tangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

sumber - Berita Hairan

AL-QURAN : TEMAN DI DALAM KUBUR

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al - Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya"

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya"

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" 

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini,engkau tidak akan berasa dukacita lagi"

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia.

Allah telah menjanjikan Al - Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan Allah itu adalah benar. Dekatilah Al - Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat. Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahnya..... AMIN!!!

Apa itu Istidraj...

Minggu lepas, kawan seofis Fendi tanya "Kenapa kadang kala kita lihat seseorg insan tu sentiasa dapat kegembiraan spt dapat naik pangkat,

murah rezeki dll sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran? ".
So,Fendi pun jawablah yang kdg kala sesuatu anugerah Allah swt kpd seseorg individu tu bukanlah sebab Allah sayangkan hambanya itu tetapi kerana Allah nak tengok sejauh mana keikhlasan orang itu. Allah nak tengok adakah hambanya itu akan menyedari bahawa Allah amat bermurah hati dengannya jadi sepatutnya dia bersyukur dan berubah menjadi baik. Tapi jika individu itu masih tidak reti bersyukur maka sesungguhnya dia telah menimbulkan kemurkaan Ar-Rahman.Teringat juga Fendi pd satu penjelasan ustazah sekolah rendah dulu.
 
Ada member tanya kenapa kdg2 kita dah banyak kali berdoa tapi belum dapat apa yang diimpikan. Ustazah kata itu tandanya Allah sayang pada kita.Sebabnya Allah tahu kalau kita lambat atau belum dpt yg diimpikan, kita akan terus berdoa dan mengingati Ilahi. Sebenarnya Allah amat rindukan suara hamba-hambaNya merayu dan memujiNya. Kalau sekali berdoa terus dapat, kemungkinan besar lepas tu kita kita taksub dan lupa utk bersyukur pd yg Esa.
 
Tup-tup dpt pula artikel ni drp seorg rakan. A very relevant and interesting article. Semoga Allah beratkan timbangan ibadah kita drp timbangan dosa di Pdg Mahsyar nanti. InsyaAllah..
 
Apakah dia istidraj itu?
 
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang  selalu membuat maksiat (durhaka),

ketahuila h bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.
 
Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian didunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.
 
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur
hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.
 
Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan
ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
 
Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
 
Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.
 
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun
tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan
dia.
 
Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
 
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat
hidup senang /mewah.
 
Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.
 
Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj.. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.
 
Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.
Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.
 
Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat  pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk
mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
 
Wallahualam.
 
"Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

AMALAN ISLAM YANG DILUPAKAN

Islam itu dagang dan akan kembali dagang. Islam itu datangnya membawa perbezaan dan kalau Islam itu diamalkan kembali, ia juga akan membawa perbezaan. Islam itu lain pada yang lain. Ketika awalnya dahulu, Islam itu terpinggir, jauh tersisih dari cara hidup orang-orang Arab jahiliah. Di akhir zaman juga ia terpinggir. Cara hidup Islam yang sebenar jauh tersisih dari cara hidup umat Islam di zaman jahiliah moden ini.

Al-Quran itu dinamakan juga Al Furqan atau yang membedakan. Siapa yang mengamalkan Al Quran, maka cara hidupnya akan berbeza dengan orang yang tidak mengamalkan Al Quran. Siapa yang banyak meninggalkan ajaran Al Quran, maka Islamnya tidak syumul.

Sendi-sendi kehidupan umat Islam kini sudah terlalu banyak yang rosak. Sudah tidak kelihatan lagi ciri-ciri dan amalan Islam di dalam kehidupan umat Islam. Banyak dari amalan-amalan Islam telah dilupa dan ditinggalkan. Ia telah digantikan dengan amalan-amalan yang ditiru, dicedok dan diciplak dari amalan para penjajah, orang-orang Barat, Yahudi dan Nasrani.

Di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, kalau diibaratkan ilmu Islam itu ada sepuluh, amalan umat Islam ketika itu juga ada sepuluh. Sebab itu Islam ketika itu syumul dan terlaksana di semua bidang kehidupan. Pada zaman selepas tabit tabiin, ilmu Islam tetap ada sepuluh tetapi amalannya sudah kurang menjadi sembilan. Ketika itu, Islam masih lagi kelihatan syumul. Pada zaman tiga ratus tahun hingga membawa kepada tujuh ratus tahun umur Islam, iaitu di kala mana empayar Islam masih wujud, amalan Islam terus berkurangan walaupun ilmunya tetap sepuluh.

Pada era selepas tujuh ratus tahun hingga sekarang ini iaitu di kala mana empayar Islam telah runtuh dan umat Islam mula dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, semakin banyak amalan dan cara hidup Islam ditinggalkan dan diganti dengan amalan-amalan dan cara hidup penjajah. Sekarang ini, tidak salah kalau kita anggarkan bahawa nisbah amalan Islam hanya tinggal satu walhal ilmunya tetap sepuluh, sama seperti di zaman Rasulullah SAW dahulu. Ilmu Islam tidak rosak. Ilmu Islam tidak berkurangan. Ilmu Islam tidak susut. Yang menjadi kurang, yang rosak dan yang susut ialah amalannya yang sudah banyak ditinggal dan dilupakan oleh umat Islam.
Maka terbuktilah kebenaran firman Allah yang berbunyi:
Maksudnya: Dan sekali-kali tidak akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada engkau ya Muhammad selagi kamu tidak mengikut cara hidup mereka. (Surah Al-Baqarah: 120)

Amalan yang tinggal di waktu ini hanyalah apa yang termaktub di dalam rukun Islam. Itu pun kerana ianya dijadikan rukun. Kalau tidak, mungkin amalan-amalan tersebut dilupakan juga. Amalan-amalan yang menjadi rukun ini, kalau tidak diyakini dan diamalkan, maka akan terjejas keimanan. Justeru itu, masih ada umat Islam yang bersolat walaupun ramai sudah tidak bersolat atau tidak tahu bagaimana hendak bersolat. Masih ada umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan. Masih ada umat Islam yang membayar zakat dan masih ada yang menunaikan haji. Amalan-amalan yang lain yang tidak merupakan rukun, hampir kesemuanya sudah lenyap ditelan zaman.

Itu sebab Islam di zaman ini tidak syumul lagi. Itu sebab orang Islam tidak banyak bezanya dengan orang bukan Islam sama ada lahir mahupun batinnya. Itu sebab umat Islam sudah hilang identiti mereka. Kecantikan dan keindahan Islam sudah tidak dapat dilihat lagi. Keselamatan dan kesejahteraan yang dijanjikan oleh Islam tidak dapat dirasakan lagi. Umat Islam berpecah-belah. Akhlak dan moral umat Islam runtuh menyapu bumi. Masyarakat umat Islam kucar kacir. Ekonomi umat Islam mundur. Itu sebab juga umat Islam sudah tidak dihormati dan digeruni malahan dikeji dan dihina di seluruh dunia. Kebanyakan umat Islam hari ini hanya Islam pada keyakinan tetapi tidak Islam pada amalan. Lain yang diyakini, lain pula yang diamalkan. Mereka mengaku Islam tetapi cara hidup, cara berfikir dan cara menilai sangat kebaratan.

Bila dikembalikan semula amalan-amalan Islam yang telah ditinggalkan dan dilupakan, masyarakat menjadi huru hara. Banyak mata yang terbeliak. Ramai yang terkejut. Ramai yang terpekik terlolong menuduh songsang dan sesat. Sedih. Umat Islam sendiri sudah tidak kenal Islam. Islam hanya tinggal rukun. Islam pada mereka hanya solat, puasa, zakat dan haji. Umat Islam sudah lupa berpakaian secara Islam. Mereka sudah lupa itu apa aurat. Mereka sudah lupa makan minum dan bergaul secara Islam. Mereka sudah lupa berekonomi, menjalankan pelajaran dan pendidikan, berkebudayaan, bermasyarakat dan berpolitik secara Islam. Mereka sudah lupa bersahabat dan berjiran secara Islam. Mereka sudah lupa berhibur secara Islam. Mereka sudah lupa tentang had-had dan batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.

Apabila ditonjolkan pakaian secara Islam yang menutup aurat, mereka terkejut. Pakaian sunnah berserban mereka tak tahu. Makan cara Islam di dalam talam, makan bergaram dan duduk bersimpuh, mereka rasa pelik. Pada masa yang sama, mereka memandang amalan poligami itu hina walhal ianya adalah satu amalan yang mulia dan merupakan sebahagian dari syariat Islam dan menjadi amalan Rasulullah. Malahan poligami ialah tradisi bagi orang-orang soleh. Tidak pula mereka pandang salah atau hina bila muda mudi bergaul bebas atau berjalan berdua-duaan ke sana ke mari. Dadah, arak, zina dan judi yang berlaku di tengah-tengah masyarakat dipandangringan dan dianggap sebagai perkara biasa atau sebagai masalah individu yang orang lain tidak perlu masuk campur.

Itu belum lagi diperkatakan tentang berekonomi secara Islam yang menentang penindasan, riba, monopoli dan pembaziran yang sangat berbeza dengan sistem kapitalis yang diamalkan yang hanya mementingkan untung berlipat ganda tanpa mengira halal atau haram. Ataupun soal pelajaran dan pendidikan Islam yang membawa manusia kepada Tuhan dan bukan kepada kebendaan. Atau soal kebudayaan Islam yang membawa kesedaran dan membina kehalusan akhlak manusia dan bukan yang melalaikan, merosakkan akidah, akhlak, moral dan yang menggalakkan pergaulan bebas muda mudi dan penggunaan dadah.

Sistem sosial Islam yang berkasih sayang, bertolong bantu, kuat menguatkan, bersatu padu dan penuh dengan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan dan bukan sistem sosial yang menindas dan menekan, hidup cara nafsi-nafsi, yang kuat timbul yang lemah tenggelam seperti kehidupan haiwan di belantara atau seperti pokok di hutan yang berebut-rebut meninggikan pucuk masing-masing untuk mendapat cahaya matahari.

Dan juga sistem pentadbiran Islam yang menyatu-padukan umat, yang adil, yang bebas dari krisis, pilih kasih dan perebutan kuasa, yang melagangkan ketuhanan dan bukan ideologi ciptaan manusia dan yang mementingkan pembangunan insan dan rohaniah lebih dari pembangunan material. Sudah begitu jauh cara hidup umat Islam kini dari cara hidup Islam yang sebenar. Cara hidup musuh dianggap Islam, cara hidup Islam dimomok dan dikatakan ketinggalan zaman.

Untuk menebus kembali maruah umat Islam yang sudah punah ranah ini, untuk membawa Islam kembali ke mercu kegemilangannya dan untuk menjadikan umat Islam ini pewaris bagi bumi Allah ini, maka kita perlu tingkatkan amalan Islam kita. Kita perlu hidupkan semula segala amalan-amalan Islam yang telah lama kita tinggalkan dan kita lupakan. Umat Islam perlu kembali kepada amalan Islam yang sebenar. Kalaulah amalan Islam kita pada hari ini diibaratkan hanya satu dari sepuluh ilmu Islam yang ada, marilah kita tingkatkan amalan kita itu kepada dua, tiga, empat, lima dan seterusnya setakat mana yang kita mampu. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal.

Kalau tidak ada ketiga-tiga perkara ini, Islam tidak akan terlaksana. Islam akan hanya menjadi seperti benih yang belum ditanam. Pokoknya tidak ada. Kalau pokok Islam tidak ada, masakan dapat kita nikmati buahnya yang enak, lazat dan manis.Dengan ketiga-tiga perkara ini juga iaitu iman, ilmu dan amal, Islam kita akan bertambah syumul dan bertambah syumul. Di atas kesyumulan inilah letaknya kasih sayang Tuhan. Di atas kesyumulan inilah letaknya nikmat, rahmat dan keampunan Tuhan.

 

Sumber - rufaqa