Pages

Meh le jadi family teman di alam cyber! Jemput follow ye?

Friday, August 19, 2011

Pemuda PAS - Pihak Berkuasa Agama Perlu Tegas!

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

PIHAK BERKUASA AGAMA PERLU TEGAS

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) meminta Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri terutamanya Negeri Selangor mengambil tindakan yang tegas mengikut enakmen dan undang –undang sedia ada berkenaan dengan penyebaran agama lain kepada orang Islam supaya polemik berkenaan usaha memurtadkan orang-orang Islam dapat dibendung. Mutakhir ini di dalam media massa, cetak dan elektronik, telah dibongkarkan ada seorang guru tuisyen di Jalan Kuchai Lama mengajar muridnya beragama Islam, menyanyikan lagu memuji kebesaran Nabi Isa. pusat tuisyen dan sekolah di sekitar Lembah Kelang yang telah mengajar murid-murid Islam Tahun 1 tentang perkara-perkara yang membabitkan agama Kristian. Dilaporkan juga, murid yang belajar secara percuma daripada sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu, telah diajar menyanyikan lagu “Yes, I know Jesus loves me” dan ‘Hari ini Ku Rasa Bahagia’ yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib. Selain itu, murid-murid itu juga dikatakan, mampu bercerita kisah Nabi Isa, termasuk Nabi Isa disalib dan diterapkan ajaran Kristian secara halus ketika belajar. Pihak Berkuasa Agama perlu bertindak proaktif untuk membuat siasatan terhadap segala pendedahan telah di buat. Sekiranya terbukti kebenaran daripada siasatan tersebut maka pihak Berkuasa Agama perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat sekiranya pihak Berkuasa Agama tidak mengambil langkah segera untuk menyiasat mengambil tindakan, maka isu ini akan terus berlarutan dan berkemungkinan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan untuk melakukan fitnah dan mehnah sehingga merosakkan keharmonian prinsip kebebasan beragama di dalam Negara ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri terutamanya di Selangor akan dapat melaksanakan tugasan mereka secara profesional dan adil untuk mempastikan kesucian Agama Islam dan ummat Islam dilindungi.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempertegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha dan agenda untuk memurtadkan orang-orang Islam. Pemuda PAS komited untuk membantu dan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan oleh pihak-pihak Berkuasa Agama untuk melakukan pemantauan, penangkapan, memberikan kaunseling atau apa jua bentuk bantuan yang diperlukan sekiranya ada kes atau isu yang berkaitan dengan usaha untuk memurtadkan orang-orang Islam. Semoga segala usaha dan kerja buat untuk menjaga Agama Allah ini akan mendapat keredahaan dan perlindungan Allah Taala.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

19 Ogos 2011

0 comments: